Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 31 Julai 2009

AYU, AWAN dan TUAH teruskan tugas ‘Mek Wok’

Selepas kematian Mek Wok, seekor beruk yang didatangkan khas dari Terengganu beberapa minggu lalu, bagi mempromosikan Taman Buah-Buahan Tropikal Sungai Udang, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan tiga ekor beruk lain yang diambil dari Sungai Rambai, Jasin untuk meneruskan promosi taman berkenaan.

‘Ayu’ berusia dua bulan setengah, ‘Awan’ 11 bulan dan ‘Tuah’ empat tahun buat pertama kali ditampilkan di Taman Buah-Buahan Tropikal Sungai Udang (MTFF), kelmarin. Kemunculan tiga beruk jinak ini menarik perhatian sekumpulan 40 pelancong Jepun yang bertuah menyaksikan aksi sulung beruk berkenaan.

Penjaga beruk-beruk ini, Jafar Ahmad, 37, berkata, untuk langkah awal, hanya Awan yang membuat aksi memanjat dan memetik buah kelapa di situ memandangkan Ayu masih kecil dan hanya melakukan persembahan biasa dengan pelancong.

“Sementara itu buat masa ini, Tuah perlu diasingkan kerana ia masih tidak biasa dengan manusia.

“Sebelum ini Tuah hanya mengikut saya memetik kelapa dan tidak biasa dikelilingi manusia.

“Ayu dan Awan tidak memberi sebarang masalah kepada saya untuk beraksi di hadapan pelancong memandangkan kedua-duanya sudah biasa dengan kehadiran manusia,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, pelancong Jepun yang berpeluang menyaksikan aksi beruk terbabit nyata teruja dengan pengalaman pertama mereka melihat beruk beraksi memetik buah kelapa.

SUMBER : Sinar Harian

Tiada ulasan: