Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 5 Julai 2009

DEBAT UMNO - PAS : TOK GURU NAK JUMPA NAJIB

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhasrat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu sekiranya cadangan beliau untuk mengadakan debat dengan Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuan empat mata itu bertujuan untuk membincangkan garis panduan debat itu.

"Surat rasmi menjemput Perdana Menteri mengadakan perdebatan itu sudahpun dihantar tetapi setakat ini masih belum menerima sebarang jawapan daripada pihak berkenaan, katanya pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini, sekembalinya daripada mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakam) di Kuala Lumpur.

Nik Abdul Aziz mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.

Ditanya sama ada jemputan beliau mengadakan perdebatan itu sebagai helah politik untuk mengalih pandangan pemerhati daripada isu kerajaan perpaduan yang dimomokkan oleh pemimpin Umno dan Pas, Nik Aziz berkata: "Isu mengajak Umno berbincang atau berdebat dengan Pas bukannya baru, malah sudah lama sejak Pas ditubuhkan pada 1951 lagi."

Cuma, katanya, pelawaannya yang terbaru untuk adakan perdebatan itu setelah Pemuda Umno membuat laporan polis mengenai ucapannya dan menurutnya isu itu tidak akan selesai selagi tidak diadakan perdebatan.

"Cuma saya nak tanya dua perkara saja, kenapa (Umno) tolak Islam dan di manakah tidak kena dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas, terutama di Kelantan," katanya.

SUMBER: Bernama

Tiada ulasan: