Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 15 Julai 2009

TOK GURU AKUI ISU PEMBANGUNAN FAKTOR UNDI MEROSOT

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kemerosotan drastik jumlah majoriti kepada PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai semalam kerana pengundi terpengaruh dengan janji pembangunan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Kelantan itu berkata faktor berkenaan menjadi elemen utama yang menyebabkan BN mampu menarik pengundi di Manik Urai untuk memilih parti berkenaan kerana ia menyentuh aspek pembangunan di kawasan hulu Kelantan itu.

"Sebagai contoh janji-janji pembangunan yang dibawa oleh BN apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri berjanji untuk membina jambatan berharga RM7 juta di Manik Urai jika parti itu menang dalam pilihan raya itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, pada hari Rabu.

Justeru, katanya, satu bedah siasat akan dilakukan oleh pucuk pimpinan parti itu bagi menentukan punca sebenar kemenangan tipis Pas pada pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya kecil DUN itu, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan memperoleh majoriti 65 undi, berbanding majoriti yang diperoleh penyandang ADUN kawasan itu, Allahyarham Ismail Yaakob,60, yang memperoleh majoriti 1,352 undi pada pilihan raya umum 2008.

Di PULAU PINANG, DAP juga mengakui bahawa pelbagai insentif untuk rakyat yang diumumkan sejak Najib menjadi Perdana Menteri adalah antara faktor BN mendapat sokongan pada pilihan raya kecil itu sehingga menyebabkan Pas menang dengan majoriti tipis.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata sejak menjadi Perdana Menteri, Najib telah membuat pelbagai pengumuman yang menggembirakan hati rakyat.

"Ini memberi kelebihan kepada BN dan Umno tetapi kita juga perlu tanya kenapa BN masih tidak menang di Manik Urai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata perpecahan dalam Pas sendiri adalah punca yang menyebabkan calon parti itu menang tipis pada pilihan raya tersebut.

"Masih ada pihak (dalam Pas) yang mahu adakan kerajaan perpaduan dengan Umno. Ini menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan pengundi sehingga memberi kelebihan kepada Umno," katanya.

Lim juga berkata masalah di Selangor yang melibatkan ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali mendesak kerajaan Selangor merombak barisan Exconya juga antara penyumbang kepada kemenangan tipis Pas di Manik Urai.

"Insiden di Selangor yang melibatkan Azmin memberi gambaran tidak sihat kepada pakatan pembangkang bahawa ada perpecahan dalam pakatan pembangkang iaitu bukan sahaja di kalangan parti sebaliknya di dalam parti sendiri," katanya.

SUMBER : BERNAMA

Tiada ulasan: