SHAH ALAM - Dua kesan tompok pada tangga kecemasan antara tingkat 14 dan 15 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bangunan Plaza Masalam di sini bukan kesan darah mendiang Teoh Beng Hock.
Sebaliknya tiga ujian awal yang dijalankan oleh ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Seah Lay Hong di lokasi kejadian mendapati kemungkinan ia adalah kesan cecair antikarat yang digunakan untuk mengecat.
Lay Hong merupakan saksi kesembilan prosiding inkues.
Perkara itu diberitahu oleh peguam pemerhati keluarga mendiang, Gobind Singh Deo kepada pemberita selepas tiga ujian itu dilakukan oleh ahli kimia terbabit di lokasi kejadian semalam.
Lawatan semula ke lokasi kejadian dibuat selepas Koroner Azmil Muntapha Abas pada prosiding hari kelima inkues kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu pada sebelah pagi membenarkan permohonan Gobind supaya pemeriksaan lanjut bersama pakar-pakar dijalankan di Plaza Masalam sekali lagi.
Mereka tiba pada pukul 11.20 pagi di bangunan itu yang turut dihadiri peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan dan Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd. Abbas serta peguam pemerhati bagi kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar dan Sreekant Pillai.
Hadir sama seorang lagi ahli kimia, Saiful Fazamil Mohd. Ali yang juga merupakan saksi kelapan serta Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.
Selain dilihat pergi ke aras 14 dan 15, lawatan yang mengambil masa lebih tiga jam itu turut melibatkan koridor tingkat lima, tempat mayat mendiang ditemui mati pada 16 Julai lalu.
Turut bersama menjalankan ujian terhadap tompok itu ialah dua pembantu pakar patologi forensik dari Institut Pusat Sains Forensik Thailand, Leftenan Kolonel Polis Somchai Chailermsooksant dan Dr. Triyarith Temahivong yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan