Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 31 Ogos 2009

ISU KUIL HINDU : NGO MELAYU BIKIN MALU AGAMA SENDIRI

Tindakan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu dan memijaknya di hadapan bagunan SUK Selangor dua hari lalu telah mencemarkan imej penganut dan agama Islam itu sendiri.

Akibat tindakan segelintir pihak itu, seluruh penganut Islam terpalit sama dan boleh dipandang serong.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS negeri Kelantan Ustaz Muhammad Mustafa berkata, selain menyinggung perasaan penganut agama hindu, tindakan di luar ajaran Islam itu juga mampu mencetuskan ketegangan kaum.

"Apakah dengan membuat demonstrasi membawa kepala lembu tersebut satu cara penyelesaian? Ini akan menyinggung perasaan penganut agama Hindu yang mereka menganggapkan lembu sebagai seekor binatang suci. Islam tidak menyuruh kita menyinggung perasaan penganut agama lain," ujar Adun Demit tersebut.

Beliau yang hairan dengan sikap pihak tersebut yang mendakwa mereka juga Islam, namun bertindak jauh melampaui batas dan tunjuk ajar agama dan sering kali menjadi dalang kepada perpecahan Islam dan perpaduan kaum.

Beliau yakin tindakan itu dilakukan kerana kurangnya kepada kefahaman agama islam itu sendiri.

"Mereka ini cuba menunjuk hero apabila mencanangkan merekalah pembela agama tetapi langkah membawa kepala lembu yang diletakkan di pejabat SUK Selangor adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan memalukan umat Islam di negara ini," ujarnya lagi.

Beliau yakin tindakan tersebut bermotif politik melihat kepada beberapa serangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor khususnya dalam perkara membabitkan sensitiviti agama Islam.

Sebelum ini Selangor diserang dengan isu "kandang babi moden" yang ingin diperkenal kerajaan Selangor bagi mengatasi beberapa masalah berkaitan akibat sistem penternakan babi tradisional yang diamal sekarang.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan Pakatan Rakyat itu juga diserang dengan isu 'penjualan arak' yang didakwa tidak sensitif terhadap ummat Islam negeri.

Jika diperhatikan, dalam kedua dua isu tersebut, kerajaan Pakatan Selangor sebenarnya tampil dengan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dibina zaman pemerintahan kerajaan BN dahulu lagi. Namun sebarang usaha penyelesaian itu pula telah dipolitikkan.

Selangor juga pada waktu ini sedang berdepan pelbagai lagi serangan, khususnya terhadap Menteri Besar dan exco DAP negeri itu.

Mengulas perkara itu Muhammad berkata, Pakatan negeri itu perlu bersedia kerana BN tidak akan berdiam diri untuk menjatuhkan Selangor seperti yang dilakukan kepada kerajaan Kelantan sejak dulu.

"Kalau dulu mereka sering menyerang negeri Kelantan dalam pelbagai isu yang juga melibatkan pelbagai kaum, namun Alhamdullillah sehingga kini kerajaan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat bertahan dan kaum-kaum lain dapat hidup aman dan mereka juga tidak dinafikan tempat-tempat ibadat mereka," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada Armalah (ubu tunggal) dan Anak Yatim di DUN Demit.

Seramai 400 golongan Armalah dan Anak Yatim dalam DUN itu menerima sumbangan kerajaan negeri Kelantan bagi menghadapi bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

Mereka diberikan sejumlah RM200 setiap orang dan melibatkan keseluruhan RM80 ribu. Peruntukan ini dikeluarkan setiap tahun kepada seluruh DUN di Kelantan dan mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan.

Jumaat lalu kira-kira 50 orang Melayu dari beberpa NGO mengarak kepala lembu dari Masjid Negeri menuju ke pejabat Menteri Besar sebagai bantahan terhadap cadangan memindahkan sebuah kuil di syeksyen 23 Shah Alam.

Media hari ini melaporkan pihak polis sedang membuat siasatan terhadap kes ini dan akan menggunakan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan Akta Hasutan ke atas mereka yang terlibat dalam perarakan berkenaan.

Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pada itu kesal dengan tindakan NGO tersebut seolah olah tidak menghormati suasana Ramadhan dan juga suasana menyambut hari Kemerdekaan.
Sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan: