Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 31 Oktober 2009

Dr Asri Bakal sertai PAS ??

 
Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini.

PETALING JAYA: Krisis dalaman PAS yang sedang hangat diperkatakan turut mengheret bekas Mufti Perlis yang khabarnya telah dijemput untuk menyertai parti Islam itu.Adakah kemungkinan beliau akan terjun ke bidang politik, samada Umno atau PAS. Atau mungkin juga menyertai pihak ketiga? Ini adalah kerana setelah pulang dari UK, Dr Asri yang juga bekas Mufti Perlis, bebas dari jawatan.

Banyak pihak menjemput beliau menjadi aktivis mereka. Yang terbaru, ada khabar angin mengatakan Dr Asri akan menyertai parti politik PAS.Yang menguatkan lagi kesahihan berita ini apabila tersiarnya gambar Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato Harun Taib yang berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini di laman web Minda Tajdid (www.drmaza.com).

Khabarnya, majlis yang dipenuhi dengan ukhuwwah dan kemesraan itu diikuti dengan makan malam bersama.Difahamkan, Ketua Dewan Ulamak PAS itu turut menjemput Dr Mohd Asri menyertai perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia.Namun, seperti yang dipetik dari laman web minda tajdid, Dr Mohd Asri hanya mengucapkan terima kasih atas jemputan itu dan menyatakan penghormatan beliau kepada Ketua Dewan Ulamak PAS berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber terdekat Dr Asri, bekas Mufti Perlis itu yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, telah membuat kunjungan hormat ke rumah Mahathir untuk mendapatkan nasihat pada minggu ini.Kata sumber itu, Mahathir tidak setuju jika Dr Asri mengambil apa-apa jawatan lantikan politik termasuk kerajaan."Dia menasihatkan Dr Asri agar kekalkan sikap tidak berpihak dan berkecuali. Dia tidak bersetuju kalau Dr Asri mengambil jawatan lantikan politik termasuk kerajaan.

"Alasan Tun, tulisan Dr Asri dibaca oleh semua pihak termasuk Tun sendiri. Jika Dr Asri menerima jawatan lantikan politik, orang akan kurang minat melihat beliau berpihak dan tidak lagi adil," kata sumber itu.Namun ketika dihubungi, Dr Asri enggan mengulas lanjut."Saya mempunyai hubungan baik dengan berbagai pihak. Yang lain saya tak nak komen," jelas tokoh agama yang selalu lantang menyuarakan pandangannya itu.

LEMBAGA DISIPLIN PAS BERSIDANG HARI INI

Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya."Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS."Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor. 

ImageArahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam. 

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti. 

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini. 

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau. 

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.

SUMBER: harakahdaily

TANSRI KHALID : USUL PELABUHAN KELANG LETAK JAWATAN

Beliau tidak bertanggungjawab, jarang bergaul dan tidak langsung prihatin terhadap masalah rakyat.


Itulah sungutan penduduk Pelabuhan Kelang terhadap Badrul Hisham Abdullah, adun kawasan itu yang bertindak keluar dari parti Keadilan Rakyat untuk menyokong Umno-Barisan nasional.


Badrul mengambil tindakan itu setelah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mengusulkan supaya beliau meletak jawatan sebagai Adun kerana gagal melaksanakan amanah yang diberikan.


Namun Badrul enggan melepaskan kerusi ADUN itu dan kini mencari sokongan daripada Umno untuk melanjutkan karier politiknya.


Semua akhbar dan media eletronik arus perdana memuatkan tindakan Badrul keluar dari PKR sebagai tajuk utama.


Malah mereka cuba memaparkan tindakan itu sebagai tanda PKR tengah bergolak.
Media kawalan umno-BN tidak pun cuba menyiasat prestasi Badrul sebagai ADUN pelabuhan Kelang.


Malah mereka memperkecilkan rasional Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim disebalik tindakan kerajaan negeri mengusulkan Badrul meletak jawatan.


Tindakan berani itu diambil kerana penduduk pelabuhan Kelang hilang kepercayaan terhadap adun yang dipilih mereka pada pilihanraya umum 2008.


Susulan keluhan penduduk Pelabuhan Kelang, Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat mengambil pendirian tidak akan melindungi Adun yang gagal membela rakyat
Badrul enggan berjumpa dengan kepimpinan parti mahupun kerajaan negeri untuk membincangkan prestasinya.


Susulan itu Tan Sri Khalid mengambil inisiatif mengusulkan supaya Badrul meletak jawatan supaya memberi laluan kepada pihak yang lebih ikhlas tampil membela penduduk Pelabuhan Kelang.

DATUK HASSAN ALI : SENTIASA BERSEDIA

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tiada pergeseran serius berlaku di kalangan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia mahupun Pakatan Rakyat.

Beliau menambah walaupun adanya perbezaan pendapat, namun kerjasama dalam tugas dan kerja sentiasa baik dan profesional.
"Tidak ada perpecahan sebenarnya, walaupun ada tempat-tempatnya kami berselisih pandangan, namun hubungan harian dalam mesyuarat amat baik. Kita berada dalam keadaan musyawarah dengan kemesraan yang jelas menyanggah adanya pergeseran," kata Dr Hassan.

Berkata demikian kepada TV Selangor ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Sumbang Saran, Majlis Pelancaran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau kesal terhadap sesetengah media yang sengaja mensensasikan isu ini sehingga menjejaskan hubungannya dengan pemimpin Pakatan Rakyat lain.

“Saya harap sangat bahawa kita mesti menyatakan fakta dan kita mesti beramanah dalam kita melaporkan sesuatu, bukan nak menimbulkan sensasi, bila kita menimbulkan sensasi, ada orang suka, ada orang tidak suka," jelasnya.

Tambahnya, beliau bersedia untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin pada 7 November di Markas Pas Taman Melewar nanti sepertimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas di Ibu Negara malam semalam.

NIZAR GESA HISHAM AWW DAN MUSA LETAK JAWATAN

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan.


Menurutnya Hishammuddin dan Musa gagal menunaikan janji bagi memastikan keselamatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersindang di DUN termasuk ADUN Pakatan Rakyat terjamin.


Katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila polis bertindak kasar ke atas ADUN Pakatan Rakyat terutamanya Speaker Dewan, V. Sivakumar sehingga dicekik.


“Sebabnya dia berjanji bahawa anggota polis akan menjaga keselamatan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk Pakatan Rakyat di ipoh masa persidangan 28 hari bulan. Tetapi apa yang berlaku di tempat letak kereta itu adalah disebaliknya.


“Bukan hanya di tempat letak kereta bahkan di tempat hendak masuk Dwan Undangan Negeri pun kami dikasari sehingga YB Sivakumat dicekik dan dihimpit kumpulannya untuk merampas jubahnya sehinga koyak rabak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan ganas polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat 28 oktober lalu.


Polis bertindak ganas dengan mengasari ADUN Pakatan Rakyat bagi menghalang mereka memasuki Dewan.


Polis turut mengasari Speaker Dewan, V. Sivakumar dengan mencekik beliau bagi merampas jubah yang dipakainya mengakibatkan jubah berkenaan koyak rabak.


Nizar berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung tindakan ganas polis yang mencekik Sivakumar.


Katanya, institusi polis tercemar kerana diperalat Umno-Barisan Nasional.


“Saya minta apa yang dinyatakan polis akan menjaga keselamatan, polis tidak akan menggunakan kekasaran. Tetapi apa yang berlaku mereka terlalu kasar dengan kami.
Mereka cuba merampas jubah Sivakumar itu sebabnya saya menyatakan dia tidak pegang kepada apa yang dinyatakan, dia kena berhenti termasuk Ketua polis Negara sekali.


“Ini mencemarkan institusi polis setelah mereka diperalat Umno-Barisan Nasional, tiba-tiba apa yang dijanjikan tidak berlaku dan polis cukup kasar kepada kami. Kita boleh buktikan gambar di mana Sivakumar dicekik,” katanya.

Khamis, 22 Oktober 2009

MAMPUKAH PR PIMPIN MALAYSIA ??

Bolehkah Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang halal dan absah (berlegitimasi), seandainya gagal memperolehi sokongan lebih 50% daripada masyarakat Melayu, tetapi sokongan masyarakat kaum lain memberikan bilangan kerusi yang mencukupi di Dewan Rakyat untuk PR memerintah di peringkat pusat?


"PR mungkin terasa serba salah dengan kesahihan kerajaannya seandainya ia memperolehi kurang 50% daripada sokongan masyarakat Melayu, walaupun mendapat mandat lebih 50% daripada seluruh masyarakat Malaysia." 

Demikianlah pemerhatian dan persoalanan yang dilontarkan oleh pengkaji politik, Wong Chin Huat selepas kekalahan PR di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober yang lalu. Wong mengemukakan statistik bahawa wujudnya kecenderungan pengaliran undi masyarakat India kepada BN dalam PRK tersebut, yang boleh dijelaskan sama ada Bagan Pinang ialah "kes terasing" atau "menggambarkan trend keseluruhannya (khususnya masyarakat India)". 

Seandainya 40% undi Melayu diperolehi...
 
Perhitungan kasar Wong berdasarkan 165 kerusi parlimen di Semenanjung menunjukkan, seandainya PR memperolehi 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, maka PR akan memperolehi 103 kerusi, dan hanya memerlukan 9 kerusi daripada Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan persekutuan (dengan 112 daripada 222 kerusi). 

ImageSeandainya PR memperolehi 50% undi kaum India dan 75% undi kaum Cina, dalam keadaan mengekalkan undi Melayu pada paras 40%, maka PR akan memperolehi 90 kerusi di Semenanjung. Jikalau undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan mendapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku pada PRU ke-12. 

Pemerhatian Wong (gambar) terhadap senario politik selepas PRU ke-12, termasuk beberapa PRK seperti Bukit Gantang, Manek Urai yang menyaksikan peralihan sokongan sebahagian masyarakat Melayu kepada BN, menyimpulkan bahawa "mustahil untuk PR memperolehi lebih 50% sokongan Melayu dalam masa terdekat." 

Maka, Wong mencadangkan agar PR menggariskan matlamat yang lebih realistik, iaitu mengekalkan undi Melayu sekurang-kurangnya pada paras 40%, di samping melonjakkan graf sokongan masyarakat bukan Melayu kepada 75%, seandainya ingin mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan pada PRU ke-13. 

Untuk Wong, selagi PR terasa serba salah jikalau gagal memperolehi lebih 50% undi daripada masyarakat Melayu, maka UMNO dan lidahnya, Utusan Malaysia akan diberi kesempatan untuk meneruskan serangannya. 

Seandainya Pakatan Rakyat retak...
 
Logik Wong begini. Seandainya PR terus dihantui bayangannya "untuk mendapat sokongan lebih 50% Melayu", maka parti komponen PR, terutamanya PAS dan PKR dijangka akan beralih kepada hujah mahupun dasar yang menampakkan perkauman dan keagamaannya sekali-kala, sekiranya tidak tahan dengan serangan UMNO dan Utusan Malaysia. 

Lantaran itu, PAS dan PKR akan bertelagah dengan DAP yang perlu tampil untuk menyanggah hujah dan dasar tersebut. Apa yang berlaku seterusnya adalah pengundi bandar, kelas menengah akan hilang yakin kepada PR kerana "harapan (yang diberikan PR)" kini diganti dengan persepsi "sering berbalah sesama sendiri". Senario ini berakhir dengan retaknya PR seperti Barisan Alternatif sebelumnya...
Untuk mengelakkan ramalan pesimis ini menjadi kenyataan, Wong menganjurkan pandangan bahawa PR perlu yakin bahawa dirinya tetap kerajaan yang absah seandainya mendapat mandat lebih 50% undi daripada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. 

Sistem negara yang dikuasai Melayu
 
ImageKetika mengulas pandangan yang diutarakan Wong Chin Huat, Yong Kai Ping (Editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina - gambar) berkata, "legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu" merupakan "persoalan struktur" yang perlu dihadapi bukan sahaja PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan kerajaan di negara ini. 

Yong menjelaskan bahawa setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu sistem "negara Melayu", di mana sektor perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis telah dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.
Justeru itu, Yong berpendapat bahawa PR tidak dapat mengelakkan dirinya ketika berdepan dengan persoalan ini, dan terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Yong menganggap bahawa PR masih belum menemui jalan keluar, ketika berhadapan dengan serangan retorik UMNO bahawa "naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu". 

"Sememanganya, PR tidak akan dapat menandingi UMNO ketika membincangkan Melayu. Namun, apakah hujah sebaliknya yang diketengahkan untuk membalas retorik UMNO? Satu hujah yang senang difahami, berkesan untuk memujuk dan mendapat keyakinan masyarakat Melayu...," kata Yong. 

Misalnya, "Melayu" dipisahkan kepada Melayu-Bandar, Melayu-Kelas Menengah dan sebagainya, agar kepentingan Melayu ini dapat dihalusi dan dibincangkan secara konkrit, cadang Yong. 

Malah, Yong (gambar) menganggap "politik berbilang kaum" yang dianjurkan PR ini perlu didalami, dan bukan hanya berpuas hati dengan aktiviti seperti rumah terbuka sahaja. Beliau mencadangkan agar pemimpin PR perlu berdialog dengan sektor perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, untuk menghapuskan rasa musuh dan syak wasangka yang wujud. 

Apabila tembok ini dipecahkan, barulah PR boleh tampil dan mendakwa dirinya sebagai pakatan politik yang melambangkan kepentingan semua kelas dalam masyarakat Malaysia, simpul Yong.

Rabu, 21 Oktober 2009

BAGAN PINANG BUKTI UMNO PERASUAH

Kekalahan di Bagan Pinang tidak akan membantutkan usaha Pakatan Rakyat untuk terus berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan dan Negara khususnya.


Bagi ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof apa yang berlaku di Bagan Pinang adalah pengajaran kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam menempuhi arena politik negara.


Menurut Yusmadi lagi, untuk menjadi parti yang diterima rakyat, PR perlu mengakui bahawa mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan rakyat di Bagan Pinang menolak PR.


"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa unsur-unsur penyalahgunaan jentera kerajaan juga adalah penyumbang kepada kekalahan kita," katanya.


Pihak PR juga perlu melihat sedalam-dalamnya punca masalah penolakan ini. Sebagai contoh isu berkenaan masyarakat India seperti di Kg Buah Pala dan juga perkara yang melibatkan masalah orang Melayu.


"Masalah-masalah ini perlu diangkat oleh PR kerana sedikit sebanyak ia mungkin memberi kesan kepada politik kita," ujarnya lagi.


Tambah Yusmadi, PR tidak silap dari segi formula tetapi mungkin salah dari segi strategi.


"Pada saya dari segi formula PR sudah berada dilandasan yang betul barangkali rakyat masih lagi terperangkap dengan politik lama(perkauman) yang dibawa oleh Umno tetapi dalam masa yang sama apa yang perlu ialah PR lebih agresif mengangkat budaya politik baru," terangnya.


Tindakan yang sedemikian rasanya lebih relevan dalam menolak budaya politik Umno ini.


Mengakui kekalahan di Bagan Pinang adalah satu yang baik bagi PR.


"Sikap berterus terang dalam menilai prestasi parti adalah lebih baik, saya rasa rakyat boleh menerima jika kita mengakui kelemahan dan cara ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PR, cara ini akan memudahkan untuk kita menawan negara," katanya.


Disamping itu Yusmadi juga mengesa agar golongan muda perlu diberi lebih peranan dalam pilihan raya yang akan datang.


Manakala bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata kekalahan itu bukan titik noktah kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menabur jasa dan membela nasib rakyat yang ditindas oleh pemerintahan Umno-BN.


"Kita terima. Kita akan teruskan berkhidmat pada rakyat. Kita akan terus perangi rasuah. Umno-BN boleh berbangga sebab memenangi pilihan raya kali ini. Tetapi gagal menunjukkan komitmen mereka dalam memerangi rasuah. Memilih perasuah sebagai calon. Ini suatu kemalangan kepada politik negara."


Umno sebelum ini lantang menjulang pedang kononnya ingin memerangi rasuah dan korupsi dalam pemerintahannya. Namun ternyata ianya retorik semata-mata apabila berkeputusan meletakkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad sebagai calon bagi pilihan raya kecil kali ini.


Isa Samad pernah digantung keahliannya dari Umno selepas terbukti bersalah apabila terbabit dalam rasuah semasa pemilihan Umno 2004.


Mengulas mengenai dakwaan bahawa Umno kini kembali diterima oleh masyarakat. Bagi Yusmadi kemenangan Umno di Bagan Pinang adalah satu rahmat.


"Umno sebenarnya tidak berubah sebab mereka masih lagi tidak peduli dengan jenayah rasuah lantas sanggup memilih perasuah sebagai wakil mereka, ini bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah parti rasuah," katanya.


Tambahnya lagi dengan apa yang berlaku ini akan membuka mata rakyat Malaysia secara keseluruhan tentang perihal Umno yang tidak pernah berubah.


"Bagan Pinang adalah reaksi semasa bukan penolakan kepada agenda PR," dakwanya lagi.


Bagi Mahfuz beliau melihat kemenangan Umno-BN dari kacamata yang positif.


"Kemenangan Umno-BN ada hikmah kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke 13 nanti. Isa Samad akan cetus pergelutan politik dalam Umno, rakyat akan rasa muak dan putus asa pada BN," katanya.


PAS akan melakukan post-mortem dengan segera bagi meneliti segala aspek untuk menilai kegagalan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang.


Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pelbagai komen, analisa dan cadangan yang diterima oleh PAS ketika ini akan diteliti untuk melihat punca kegagalan PAS dalam pilihan raya berkenaan.


"Apa yang pasti ialah PAS akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek. Politik tempatan dan nasional, untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.


"Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan," jelasnya dalam satu kenyataan daripada Syria melalui setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri.


Tambahnya, semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS diminta supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

BEE END RAMPAS PERJUANGAN PAKATAN RAKYAT

Oleh Salhan K Ahmad


Angkatan Muda PKR (AMK) mengakui perjuangan 16 September yang sering disebut-sebut oleh Pakatan Rakyat akhir tahun lalu telah “dirampas” oleh BN apabila tarikh tersebut diumumkan sebagai satu cuti umum.


Ketua pergerakan itu, Shamsul Iskandar Mat Akin bagaimanapun berpendapat, pengumuman itu juga merupakan satu bentuk sokongan kerajaan BN ke atas usaha-usaha yang dilakukan Pakatan Rakyat untuk membina kesamarataan di antara semenanjung serta Sabah dan Sarawak.


“Ini turut memberi peluang kepada rakyat untuk membina kefahaman bahawa Pakatan kini telah sudah berupaya menjadi kerajaan,” katanya.


Shamsul berkata BN juga kini tidak lagi mempunyai idea baru untuk diketengahkan sehingga “terpaksa mengambil idea Pakatan Rakyat.”


“Bukan sahaja ini memberi sokongan kepada perjuangan Pakatan selama ini, mereka juga nampaknya telah hilang punca untuk mendepani tuntutan daripada pemimpin BN serta rakyat di sana dengan memberikan cuti umum ini,” katanya lagi.


Pakatan Rakyat telah menimbulkan isu sambutan Hari Malaysia dengan giat ketika cuba meraih sokongan pemimpin BN di Sabah dan Sarawak, dalam usahanya mengambil alih kerajaan persekutuan menjelang 16 September tahun lalu.


Katanya lagi, pengumuman cuti umum itu hanyalah sebahagian kecil daripada usaha Pakatan selama ini untuk memberi lebih pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.


Bayaran royalti


Tambahnya, pengumuman cuti umum itu juga tidak memberi gambaran sebenar berhubung sambutan Hari Malaysia, sedangkan dua negeri tersebut masih terpinggir dalam bidang ekonomi.


“Najib melihat kepada (retorik) sambutan Hari Malaysia dan bukannya pengisian hari tersebut. Pengumuman cuti umum ini hanya untuk memperingati penggabungan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia,” katanya.


Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan sebaliknya perlu memberi bayaran royalti sewajarnya kepada Sabah dan Sarawak, sebagai pulangan daripada sumber petroleum daipada negeri berkenaan.


Shamsul menjelaskan, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, ketidakseimbangan ekonomi antara semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan terus berlanjutan.


“Dari segi kemiskinan Sabah masih dianggap negeri miskin, termasuk Sarawak. Negeri ini juga masih ketinggalan dari segi pendidikan dan infrastruktur,” katanya lagi.


Tuntuan untuk menaikkan kadar royalti minyak Sabah dan Sarawak daripada 5 peratus kepada 20 peratus itu merupakan salah satu modal PKR bagi meraih lebih banyak sokongan di dua negeri berkenaan.


Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah berjanji untuk menyemak semula perjanjian antara kerajaan negeri berkenaan dengan kerajaan persekutuan yang dibuat pada 1976, untuk menaikkan kadar royalti berkenaan.

ROSMAH GANTI KHAIRY KUASAI TINGKAT 4 PEJABAT PEE EM

Dulu Khairy, sekarang Rosmah menjadi kepala "Tingkat 4" pejabat Perdana Menteri.


Pegawai kanan Kementerian Kewangan dikatakan semakin gusar dengan campurtangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dalam urusan Perbendaharaan Negara,termasuk penyediaan Belanjawan 2010 dan pemberian kontrak dan tender kerajaan.


sumber-sumber kerajaan berkata campurtangan itu sudah di "tahap kritikal' dengan Rosmah mempertikaikan keputusan tertentu Timbalan Perdana Menteri Muhyyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.


Campurtangan Rosmah itu tidak menerima sebarang teguran daripada Najib walaupun beliau adalah juga Menteri Kewangan.


Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan, Rosmah menaruh minat yang amat mendalam terhadap penyediaan Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Oktober depan.


Isteri kedua Najib itu dikatakan mempunyai akses kepada semua bahan-bahan serta dokumen yang berkaitan dengan belanjawan tersebut sehinggakan menimbulkan rasa gelisah dan tidak senang hati di kalangan pegawai tinggi kementerian.


Campurtangan Rosmah dalam keputusan pada peringkat tertinggi kerajaan meletakkan pengurusan negara dalam keadaan bahaya dan kewibawaannya di kompromi.




Sumber juga memberitahu Rosmah memperlihatkan keghairahan beliau terhadap semua aspek perbelanjaan setiap kementerian terutama yang berkaitan dengan pembelian atau "procurement" serta pemberian kontrak-kontrak.


"Rosmah memberi perhatian mendalam kepada aspek penyediaan Bajet 2010 terutamanya yang berkenaan dengan pembelian dan kontrak-kontrak kementerian yang penting," kata sumber itu.


Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi Rosmah mempunyai sebuah pejabat di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kakitangan bagi membantu beliau.


Malah pelancaran laman website beliau, www.pmo.gov.my/datinrosmah telah mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan dana awam dan salahguna kuasa untuk menyenggara laman web peribadinya.


Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau sepatutnya menjadi pemanis dan penyokong kepada suaminya bukan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.


"Saya meletakkan kelemahan perjuangan pembudayaan dan agenda wanita dan remaja di negara ini di atas bahu Shahrizat (Jalil) selaku menteri yang bertanggungjawab.


"Disebabkan menteri gagal maka Rosmah pun mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan diri sebagai juara wanita di negara ini.


"Saya tidak lihat kerjasama yang tulen antara Rosmah dan Shahrizat untuk memajukan golongan wanita malah mereka kelihatan bersaing. Kalau Shahrizat sekadar menjadi penghias kabinet lebih elok biar Rosmah bertanding," cabar Ketua Wanita KEADILAN itu.


Zuraida mendakwa Rosmah juga masuk campur semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini dengan menghadiahkan tiga buah rumah teres kepada kampung Bagan Pinang untuk dijadikan pusat remaja. Gula-gula politik itu diberikan atas nama program Permata Negara di bawah naungan beliau.


Rosmah juga dikatakan telah campurtangan membuat keputusan-keputusan penting bersabit bantuan untuk pelarian Palestin dengan membelakangkan ahli jawatankuasa Penaung Tabung Kemanusiaan Palestin yang mempunyai baki dana RM11 juta.


Di kalangan kenalan dan mereka yang mengenal beliau secara rapat, Rosmah diketahui mempunyai cita-cita yang tinggi.


Malah seorang kenalan sekolah beliau semasa belajar di Kolej Tunku Kursiah mengatakan Rosmah pernah mendabik dada bahawa beliau pasti akan berkahwin dengan seorang Perdana Menteri pada satu hari kelak.

ORANG MELAYU MULE TERIMA PAKATAN RAKYAT

Satu isu yang sering dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) ialah orang Melayu menolak Pakatan Rakyat (PR). Ini kerana Umno mendakwa bahawa PR gagal menjaga kepentingan kaum Melayu terutama di Perak dan hanya menjadi boneka kepada DAP.


Bagaimanapun perkara ini dinafikan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Menurutnya, Umno hanya memainkan propaganda tetapi hakikatnya setelah berjaya mentadbir Perak selama 11 bulan rakyat khususnya orang Melayu telah melihat cara pemerintahan PR yang berpaksikan dasar dan nilai universal (al-Islam).


"Kini orang Melayu telah mula membuka minda dan mata bahawa rupanya ada orang lain atau parti lain yang boleh urus tadbir Perak atau Malaysia. Bahkan lebih wibawa, cekap dan penuh amanah. Akhirnya orang Melayu Perak mulai sedar dan menghampiri setiap program anjuran PR," katanya.


Tetapi beliau mengakui perkara ini agak sukar dan memakan masa untuk meraih sokongan secara total kerana selepas kemerdekaan, Umno berjaya mencekam jiwa orang Melayu dengan slogan dan pelbagai jenama Islam tetapi tidak Islam sejati. Asalkan namanya Islam, orang Melayu tak kisah.


Nizar yang juga ahli parlimen Bukit Gantang melahirkan rasa gembiranya dengan sokongan yang diterima dari masyarakat bukan Melayu di Perak. Bahkan ramai di kalangan mereka yang mengaku turut di pengaruhi oleh mainan jahat Umno-BN terhadap PAS.


Ada di antara mereka yang menyatakan kami dulu pantang dengar PAS atau Islam kami cukup anti dan memusuhi PAS. Propaganda peringkat antarabangsa musuh Islam terhadap Islam juga memberi kesan kuat ke atas persepsi mereka kepada Islam dan sekali gus kepada PAS.


"Alhamdulillah sekarang mereka cukup yakin menyokong PAS hingga ke anak cucu. Buat pertama kali kaum Cina mengundi saya mewakili Pakatan Rakyat sejumlah 85 peratus yang terbesar di Parlimen Bukit Gantang pada 7 April 2008 yang lalu," jelasnya.


Perkara ini berbeza dengan Umno yang dilihat sebagai parti perkauman malahan memainkan sentimen perkauman malah setiap masa dan kewujudannya sendiri di atas landasan dan fahaman kebendaan, Assobiyah atau perkauman.


Tegasnya, Umno cuba untuk mempamerkan satu pendekatan dan imej Islam lebih-lebih lagi di zaman 1Malaysia Najib. Tetapi mereka tidak dapat menuju ke arah itu kerana budaya kebangsaan perkauman yang membarahi Umno kini.


Apa yang pasti tidak lagi pendekatan politik Malaysia di masa akan datang adalah politik lita’arafu. Yakni saling mesra bermesra dan hormat menghormati di antara satu kaum dengan kaum lain.


Ini bermakna mana-mana parti politik yang masih tidak berubah dalam sifat dan semangat fahaman perkauman mereka dengan sendirinya tertinggal atau diubah oleh masyarakat. Sekarang ini pun telah jelas kelihatan Umno, MCA , MIC dan semua parti perkauman dalam BN akan luput dan pupus satu demi satu.


Adalah lumrah sebagaimana Allah jadikan kepada kaum ‘Aad, Thamud dn Firaun, yang semuanya hebat suatu zaman dahulu. Namun di atas ketuanan bangsa dan kaum mereka, Allah ‘azabkan mereka dan hari ini mereka telah tiada walupun kesan peninggalan ketamadunan mereka masih segar bugar di Timur Tengah.


UMNO MELUDAH KELANGIT SEKALI LAGI

Reaksi pemimpin Umno-Barisan Nasional terhadap cuti enam bulan Zaid Ibrahim dari PKR memang sudah dijangka.


Ia juga melucukan. Sekali lagi kenyataan-kenyataan oleh pimpinan Umno sekadar menzahirkan sindrom meludah ke langit dalam keghairahan parti itu membidas pihak lawan.


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bingkas mengatakan percutian Zaid itu menunjukkan PKR bermasalah dan parti itu di bawah telunjuk seorang sahaja – Anwar Ibrahim.


Khairy turut menyifatkan Zaid sebagai seorang berprinsip yang kononnya tidak tahan lagi dengan politik Keadilan.


Dalam kegelojohan membidas Keadilan dan Ketua Umum parti itu, Khairy buat-buat lupa Zaid meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet ketika bapa mertuanya Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Zaid sendiri angkat kaki dari Umno sebelum parti itu memecatnya.


Ketika itu, tidak pula ada kenyataan dari Khairy mengenai kepincangan Umno atau kualiti kepemimpinan bapa mertuanya sehingga memaksa seorang berprinsip seperti Zaid meninggalkan parti itu dan mencalar lagi kewibawaan Umno.


Sebaliknya pemimpin-pemimpin Umno begitu ghairah membidas Zaid sebagai orang yang kurang Melayu, tidak tahu mengenang budi dan bermacam-macam lagi.


Kritikan peribadi terhadap Zaid turut berulang apabila beliau menyertai Keadilan enam bulan lalu. Sekali lagi tidak sesiapa dari Umno tampil mengatakan Umno harus memeriksa diri kerana pemimpin berkebolehan seperti Zaid boleh menolak parti itu dan memilih Keadilan.


Apabila Zaid mengumumkan hasrat bercuti sementara dari ahli biro politik PKR, maka kedengaranlah suara-suara sumbang dari Pemuda Umno dan kepimpinan tertinggi Umno bahawa ini petanda jelas Keadilan tidak boleh diharap.


Selain Khairy, turut memberikan pendapat “ilmiah” sebegitu ialah Naib Presiden Umno Shafie Apdal dan Ahli Majlis Tertinggi Puad Zakarshi. Komen mereka hanya menzahirkan sifat hipokrit dan bacul pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Khairy dan konco-konconya.


Mereka mengkritik semata-mata kerana nampak ada “gol terbuka” untuk membidas pihak lawan.


Dalam kegelojohan itu, Khairy dan rakan-rakan lupa kegagalan sendiri mempertahankan Zaid ketika beliau secara berprinsip menentang tindakan Umno menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan sewenang-wenangnya.


Menyentuh tindakan terbaru Zaid, Khairy dan rakan-rakan juga “buat-buat” lupa bahawa Zaid sendiri menjelaskan beliau hanya mahu direhatkan daripada tugas-tugas Biro Politik Keadilan.


Ini untuk memberi ruang secukupnya kepada beliau untuk memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat khususnya bagi membolehkan gagasan itu didaftar sebagai sebuah parti bagi memastikan “sistem dua parti” di Malaysia menjadi realiti politik.


Tidak dinafikan ada percanggahan pendapat dalam Keadilan dan setiap perbedaan pendapat antara pemimpin, baik dalam Keadilan atau di peringkat Pakatan Rakyat akan digembar-gemburkan oleh media arus perdana.


Dengan bersandarkan orang-orang seperti Khairy, Shafie dan Puad Zakarshi, media arus perdana sentiasa akan mencukupi “pelakon dan penari” untuk sentiasa mencerna pelbagai cerita, mitos dan dongeng mengenai Pakatan Rakyat.


“Percutian” Zaid Ibrahim sebagai petanda Keadilan menghadapi kehancuran hanya satu lagi lipatan mitos sebegitu.


Sumber : TV Antara

Isnin, 12 Oktober 2009

Umno menang tetapi kalah dalam memerangi rasuah

Umno memang menang dalam pilihanraya Bagan Pinang ini tetapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sambil menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dengan kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang sebelum ini telahpun ditolak oleh Umno; mengakibatkan Umno akan terus angkuh mengamalkan rasuah.


Ujarnya lagi, kemenagan Isa ini sebenarnya tidak sedikit pun memulihkan kepercayaan palabur terhadap integriti kerajaan.


Sebaliknya, ia bakal menjadi satu lagi titik gelita dalam sejarah integriti negara.


Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihan raya PAS Bagan Pinang, Salehuddin Ayub yang sebelum ini yakin, N31 bakal memangkin gelombang ketiga Rasuah Musuh No.1 Negara, konsistan menjalaskan, keputusan pilihan raya hari ini akan mempercepat gelombang itu.


Tegasnya lagi, N31 juga bakal dijadikan medan permulaan Pakatan memperjuangkan senarai undi pos bersih.


Kedua-dua mereka mengulas keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang dalam sidang media mereka jam 9 malam tadi. Turut serta dalam sidang media itu adalah calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Operasi Pilihan raya ini, Dr Dzulkefly Ahmad serta pimpinan Pakatan Rakyat.


SPR mengumumkan, calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad menang besar dalam pilihan raya kecil ini mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Omar dengan majoriti majoriti 5,435 undi.


Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.


Dalam pilihan raya lalu, calon BN, Azman Mohd Nor mengalahkan calon PAS dengan majoriti 2,333 undi. Pilihan raya ini diadakan ekoran kematian Azman.

Ahad, 11 Oktober 2009

KU LI : LEBIH BAIK UMNO KALAH DARIPADA MENANG


Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata kemenangan untuk calon Umno-BN Isa Samad di Bagan Pinang bermakna kemenangan untuk rasuah dan penyelewengan.

"Walaupun kemenangan Isa pastinya dialu-alukan kepimpinan parti ekoran kekalahan berturut-turut Umno, namun dukacita saya katakan bahawa apa yang rakyat dan negara ini perlukan adalah Umno tewas di Bagan Pinang. Ini kerana kita sekali lagi mengetengahkan calon yang terbukti seorang perasuah," kata mantan Naib Presiden Umno itu.

"Kemenangan Isa bermaksud sokongan kepada budaya rasuah amalan parti dan kerajaan yang dipimpin," tegas beliau.

Razalegh menambah atas nama maruah bangsa Melayu dan demi kesinambungan reformasi di negara ini, Umno perlu tewas supaya kekalahan itu menjadi ubat memulihkan kereputan moral parti.

"Rasuah adalah barah yang membunuh Malaysia. Sekiranya ia tidak dibendung, Umno akan dilihat saling tidak tumpah seperti barah itu," kata Razaleigh.

Selain dari Tengku Razaleigh, mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan rasa tidak puas hati dengan pencalonan Isa Samad, yang digantung tiga tahun selepas didapati terbabit dalam politik wang.Sebelum ini, Razaleigh turut menegur pemilihan calon BN dalam PRK Permatang Pasir. Beliau berkata pemilihan calon melambangkan integriti dan dasar parti terbabit.

"Seorang pemimpin muda Umno pernah dipetik sebagai berkata ciri-ciri utama dalam pemilihan calon yang jaminan calon itu pasti menang dalam pilihanraya. Ini jelas sekali pemikian dangkal punca Umno dan BN tidak disenangi, bahkan melawan arus tuntutan rakyat Malaysia yang mahukan ketelusan dan ketanggungjawaban," katanya dalam blog beliau.

"Kepimpinan parti parti melangkah kebelakang buat seketika dan bermuhasabah - fikiran bagaimana pilihan calon mencerminkan parti dan integriti mereka. Sebenarnya jenis pemimpin yang kita sanjung mencerminkan pendirian dan dasar parti secara langsung," tambahnya.

KEDUDUKAN TERKINI PRK BAGAN PINANG

13,644 pengundi sah Bagan Pinang mula membuang undi pagi ini dengan lebih 95 peratus pengundi pos yang berjumlah 4,604 pengundi berdaftar telah selesai mengundi hingga semalam.


Mereka akan menentukan samaada calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar atau calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Tan Sri Mohd. Isa Samad pilihan majoriti rakyat pantai peranginan Port Dickson ini.


Mereka terdiri dari 19.9 peratus pengundi India, kira-kira 10 peratus Cina dan selebihnya, 70 peratus adalah pengundi Melayu. Di kalangan Melayu itu, kira-kira 4,600 atau 32 peratus adalah pengundi pos.


Sehingga kini, kebanyakan pemerhati politik memberikan peluang kedua-dua pihak sehingga semalam adalah 50 : 50. Namun begitu, analisa di kalangan yang hampir dengan Umno memberikan kemenangan kepada calon mereka antara 600 hingga 1000 undi majoriti.


Ini berdasarkan andaian Isa akan mendapat 75 peratus undi Melayu, 70 peratus undi pos, India 45 peratus dan Cina 30 peratus.


Namun begitu, kajian yang dibuat oleh sekumpulan pensyarah Universiti Malaya berdasarkan 2,000 respondan secara rawak mendapati sokongan untuk PAS 56 peratus dan 46 peratus untuk BN.
Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre pula menunjukkan Isa menjadi pilihan majoriti pengundi. Ini berdasarkan 48 peratus mereka mengenali Isa manakala Zulkefly hanya dikenali 11.7 peratus pengundi sahaja. Keutamaan cara pengundian juga adalah calon yang dikenali dan berwibawa.
Dalam pada itu, tidak kurang juga yang memberikan pendapat melampau namun tidak kurang juga asasnya. Mereka berkata Umno akan berjaa meningkat undi majoriti mereka sehngga ke 3,000 undi berbanding 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.


Namun sikap melampau yang ditunjukkan oleh sesetengah juru kempen dan petugas Umno sehingga memukul petugas Pakatan Rakyat dan merobohkan khemah mereka sangat-sangat meragukan.
"Jika Umno yakin akan menang buat apa tindakan agresif sebegini? Ini tindakan orang yang tertekan dan takut dengan kekalahan," kata seorang rakan wartawan dari sebuah akhbar harian.
Tindakan ganas bermula Rabu lalu. Sekumpulan petugas Umno datang ke sebuah khemah Darul Syifa' yang ditubuhkan oleh PAS untuk memberikan perkhidmatan percuma di Taman Sirusa.


Kumpulan pertama ini memberikan amaran agar khemah itu dirobohkan dalam masa 24 jam. Selang beberapa jam datang lagi kumpulan kedua yang mengarahkan agar khemah itu dirobohkan segera bukannya dalam masa 24 jam.
Akibatnya dengan kasar khemah itu dirobohkan mereka. Petang semalam, sehari sebelum mengundi, berlaku juga pertengkaran dan pergaduhan di sini.
Kunjungan ke Taman Si Rusa Jumaat selepas itu dapat merasai betapa tegangnya keadaan antara petugas PAS dan Umno di situ. Ini kerana, markas mereka yang berdekatan antara satu sama lain.
Khemah-khemah PAS pula didirikan di tepi-tepi jalan kerana tidak ada penyokong PAS yang sedia memberikan rumah mereka kerana takut di ganggu dan diugut oleh petugas BN yang sudah lama bertapak di situ.


Pusat akhtiviti PAS adalah di sebuah Pasti di situ. Kawasan ini dijaga oleh PAS Kedah dan PAS Johor.
"Kami banyak belajar dari PAS Kedah dalam kerja-kerja politik di sini," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfudz Mohamad ketika ditemui di situ.


Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, turut turun ke situ. Beliau banyak memberikan motivasi kepada petugasnya bukan memberikan kempen politik kerana majlis itu penuh dengan petugas PAS dari Johor dan Kedah di samping petugas tempatan.
"Tugas kita adalah berkempen dengan cara terbaik. Itu kerja kita. Menang kalah itu bukan kerja kita, itu kuasa Allah...Dia yang berkuasa menentukannya," kata Azizan.


Pengundi tempatan kurang menyertai majlis ceramah terutama yang dibuat di waktu siang kerana PAS agak asing bagi penduduk di sini. Mereka hanya mendekati PAS dan Pakatan melalui media khasnya media baru iaitu laman web dan blog di internet dan sms melalui telefon bimbit.
Calon BN, Tan Sri Isa yang memberikan ucapan di Si Rusa berkata, mereka semua ini orang luar yang datang buat kacau ke kawasan mereka.
"Selepas ini, mereka semua pulang. Siapa yang nak jaga kebajikan kitaa semua melainkan Umno," kata Isa dalam ceramahnya di sebuah rumah yang menjadi pintu masuk ke taman itu. Jalan di situ jam dengan kereta yang mahu keluar masuk.


Turut terperangkap adalah kenderaan PAS yang dibawa PAS Kedah untuk berkempen di sini. Ia berupa kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapkan dengan alat siar raya di atasnya. Ketika itu mereka sedang berkempen untuk memanggil orang ramai ke ceramah yang akan diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malamnya (9 Oktober).


Adun Ladang, Terengganu, Datuk Tengku Hassan mempunyai cerita tersendiri dalam siri kempen yang dibuat di sini.
"9 dari sepuluh pengundi yang kami temui memberikan jawapan positif kepada PAS. Namun kami bimbang kalau jawapan yang sama juga diberikan kepada jurukempen Umno," kata Tengku Hassan bekas Pegawai Kanan kerajaan Terengganu itu.
Anggota Parlimen Kota Raja, Selangor, Dr Mariah Mahmud juga mempunyai ceritanya sendiri. Sejak datang ke sini kira-kira seminggu lalu, beliau tidak pulang ke kawasannya di Selangor.
"Kalau saya pulang, saya kena jaga penduduk Kota Raja. Kalau saya ada di sini, mereka faham saya bertugas dan terpaksa tangguhkan apa-apa khidmat untuk mereka buat sementara," kata Mariah.
Dr Mariah bersama pasukannya yang dibawa dari Kota Raja menjaga peti undi Ladang Seliau tempat pengundi India bermastautin. Ini berdasarkan demografi Parlimen beliau yang ramai pengundi India itu.


"Kami dah kenalpasti hampir kesemua pengundi kita dahulu dan cuba mempertahankannya di samping menambah pengundi baru," kata seorang petugas Dr Mariah yang ditemui.


Pendek kata, dalam pilihan raya kecil kali ini, petugas Umno pasti terkejut besar. Buat pertama kalinya mereka merasakan tekanan dengan juru kempen yang memenuhi kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat Umno.


Harakahdaily akan memberikan maklumat keputusan ini secara langsung. Keputusan pertama akan diketahui sekitar jam 6 petang nanti

PRK BAGAN PINANG : SAH PEMUDA UMNO BERUK MAK YEH

Selama 5 hari berkempen di Bagan Pinang banyak pengalaman baru yang ditempuh, kalau di Permatang Pasir keadaannya agak berbeza kerana kita mempertahankan kerusi kita, tetapi di Bagan Pinang kali ini kita berada dalam keadaan menyerang untuk merampas kerusi dari BN.


Dalam dua-dua keadaan pihak masing-masing berada dalam keadaan tertekan untuk merampas dan untuk mengekalkan kemenangan. Dalam pemerhatian saya hari pertama hingga ketiga kempen keadaan, masih tenang dan terkawal, namun setelah masuk hari ke 4 hingga sekarang suasana sudah mula nampak berbeza. Khususnya bagi Umno, jentera mereka dan ahli mereka dilihat begitu terdesak dengan asakan kempen PAS dan Pakatan yang mengambil pendekatan �touching� melalui ziarah rumah ke rumah.


Ceramah PAS sememangnya ditujukan kepada penduduk setempat, sebab itu kehadiran tidak begitu ramai kecuali ceramah besar yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat. Tetapi pendekatan PAS setelah beberapa hari berkempen memperlihatkan keberkesanan dari sudut risalah PAS dapat sampai kepada pengundi.


Saya mengatakan Umno terdesak kerana masuk hari ke 4 gerak kempen PAS diganggu oleh Pemuda Umno dengan cara yang �ganas� malah beberapa petugas PAS telah dicederakan dalam dua insiden yang saya sendiri berada berada semasa kejadian.


Insiden provokosi dari Pemuda Umno bermula di UPU Bagan Pinang khusus di taman Abdul Samad. Taman ini dikatakan kubu kuat Umno di manapada 7/10 semasa ahli Parlimen PAS mengadakan program angkat di UPU tersebut, kami telah dihalang untuk mengadakan majlis Hi tea dan sebelumnya dihalang untuk mengadakan program klinik perubatan Islam.


(Gambar:Mata Bob masih bengkak selepas tiga hari menjadi mangsa keganasan Bagan Pinang)


Dalam insiden pukul 3.00 petang itu kononnya penduduk setempat tidak setuju PAS mengadakan program di atas kawasan yang didakwa milik �yayasan� 2 Kanopi yang disediakan diminta untuk ditanggalkan. Provokosi Pemuda Umno sebelumnya menyaksikan dua petugas kita dibelasah kononnya menyerang Pemuda Umno, sedangkan maklumat yang saya dapat ialah Pemuda Umno dengan begitu biadap menghemburkan kata-kata kesat sambil memukul kepala seorang pemuda PAS tempatan.


Marah dengan sikap biadap Pemuda Umno dia memarahi mereka dan kerana itu budak PAS ini dipukul. Sejurus itu dia memanggil abangnya untuk membela. Apabila abang budak PAS ini datang dia terus mencabar siap yang telah �sekeh� kepala adik dia dan memukul, lalu abang budak PAS ini menumbuk Pemuda Umno yang bilangan mereka seramai 100 orang lebih. Pembaca boleh bayangkan bagaimana kemudiannya abang budak PAS ini dibelasah sehingga di bawa lari dia lintang pukang oleh petugas PAS.


Saya kebetulan ada di situ, mengejar budak Umno yang tak puas hati mengejar untuk belasah terus budak PAS untuk setel masalah. Saya merayu kepada Pemuda Umno sudahlah dari terus membelasah budak ini dan saya bagi jaminan akan setel masalah ini. Sampai di tempat hi tea lebih kurang 300 meter dari aksi kejar mengejar, gerombolan Pemuda Umno semakin ramai sehingga mencecah 200 orang lebih. Wakil rakyat Pas yang ada selain saya ialah Datuk Kamarudin Jaafar, Datuk Mahfuz, Dr Hatta, Khalid Samad dan ustazah Zailah.






(Gambar:Selepas dipukul, Bob berjaya dibawa lari oleh penyokong PAS)


Suasana tegang


Kami dikelilingi oleh Pemuda Umno dengan maki hamun ejekan dan ada yang memijak gambar Tok Guru sambil berteriak �sini bukan Kelantan, sini NS jangan buat samseng, baliklah!� Unit Kawalan dari PAS Kelantan sampai, tetapi bilangan mereka hanya sekitar 10 orang, jadi semua orang PAS termasuk kami hanya sekitar 30 orang sahaja. Biadabnya Pemuda Umno sambil maki hamun mereka cuba merobohkan kanopi kami.


Saya memberitahu kepada mereka biarkan kami adakan program, kalau mereka tak suka jangan ganggu majlis kami, tapi mereka mendakwa tanah ini, tuannya tidak mengizinkan, apabila ditanya siapa tuannya mereka kata yayasan. Entah Yayasan apa saya pun tidak tahu. Kami bercadang untuk kekal disitu walaupun kanopi kami mahu dirobohkan, tetapi kehadiran pemuda Umno yang saya lihat sudah tidak dapat dikawal lagi dikhuatiri boleh menimbulkan keadaan yang tidak diingini.


Saya sempat memberitahu Pemuda Umno yang mata mereka nampak merah menyala malah ada yang betul-betul dilihat tidak terkawal lagi dengan maki hamun dan hemburan kata-kata nista kepada PAS, "Inikan pilihanraya kecil, biasalah setiap parti buat program, sepatutnya kita biarkan program parti lain berjalan kalau kita rasa ini kubu kuat kita dan kita tak perlu bimbang". Kata-kata saya hanya disambut dengan ejeken dan sorakan menghina, lalu Dr Hatta menarik tangan saya dan membisik "eloklah kita beredar, ini macam tak boleh control dah" Kami pun meninggalkan tempat itu dan kemudian beredar sambil diejek dan dan diboo oleh Pemuda Umno.


Kami mengambil keputusan untuk teruskan program dengan ziarah rumah ke rumah dan Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan malah ada yang simpati dengan insiden yang berlaku.


Pada hari Khamis esoknya kami meneruskan ziarah bersama Yb Zailah dan terbukti bahawa insiden di padang itu sebagai provokosi Umno supaya menghalang kami menziarahi pengundi, tetapi dari ziarah yang kami lakukan hampir 80% pengundi di Taman kononnya �kaw� Umno sebenarnya menyantuni kedatangan kami dan ramai yang bersetuju untuk menyokong calon PAS sambil berbisik:


(Gambar:Calon PAS dan Umno di Bagan Pinang)


"Yb fahamlah keadaan di sini, mereka ini tak boleh tengok kami sokong PAS, tapi jangan risau kami boleh beri undi kali ini, kami pun dah bosan."


Apabila diberitahu insiden provokosi Umno tempoh hari mereka terus bersimpati dengan Pas. Agak memeranjatkan kami kerana menyangka cara provokosi dibuat membayangkan PAS tak ada peluang hatta menziarahi pengundi, tetapi respons yang kami terima cukup berbeza.


Rumusannya, Umno semacam terdesak apabila melihat asakan kempen Pas yang menyantuni pengundi dengan cara yang merayu simpati, dan tema kempen yang paling digeruni oleh Umno ialah �tolak calon rasuah� Pengundi India dan Cina lebih terbuka sokongannya kepada PAS dan itu juga menekankan gerak kerja Umno yang terdesak untuk meraih undi Melayu dan undi sandaran mereka iaitu undi Pos dari tentera dan polis di mana bilangannya hampir 4000 lebih.


Ada orang bertanya kepada saya bagaimanakah peluang? Saya menjawab, sukar dan tugasnya mendaki, namun tiada yang mustahil, khususnya Umno kini terdesak dan Najib pun akur menang sikit pun jadilah. Oleh itu diharapkan dengan tekanan yang ada kepada Umno dan simpati orang Melayu yang meluat dengan sikap biadab Pemuda Umno, satu kejutan boleh berlaku.


Selamat mengundi kepada pengundi N31! Bagi Pemuda Umno janganlah jadi Beruk Demokrasi kerana hodoh perangai kamu di depan pengundi