Oleh Lim Hong Siang
"Kami orang PAS menghormati anutan agama lain. Kami tak boleh paksa orang mengikut adat kami. Kalau kamu (bukan Islam) nak minum arak, minumlah! Kamu nak makan babi, makanlah! Saya tak boleh halang..."
Demikianlah kata-kata pemimpin PAS Mohamad Sabu (gambar kanan), yang mungkin tidak asing untuk komuniti Cina di Semenanjung Malaysia yang pernah mengikuti ceramahnya, tetapi sesuatu yang bukan sahaja baru, tetapi terharu buat penduduk Cina di Sibu, Sarawak.
Semasa Mohamad Sabu berucap di Sungai Merah, berkempen untuk DAP dalam PRK Sibu, seorang wanita Cina didapati berlinangan air matanya mendengar kata-kata ini. Wong Shu Qi, wartawan MerdekaReview menceritakan pemerhatian seorang jurugambar, ketika berkongsi pengalamannya dalam satu forum bertemakan PRK Sibu, semalam.
Forum yang dianjurkan bersama oleh MerdekaReview, Jawatankuasa Sosial-Ekonomi Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam menarik kira-kira 100 orang hadirin. Selain Wong Shu Qi, barisan ahli panel termasuklah ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua, ADUN Teratai-DAP Jenice Lee, dan Penyelaras Sibu Election Watch (SEW) Ong Boon Keong.
Perubahan suasana politik
Suasana politik yang berbeza antara Malaysia Timur dan Barat mungkin antara faktornya SUPP memainkan semula isu "Negara Islam" di kalangan komuniti Cina-bukan Islam, biarpun isu ini terbukti hilang mujarabnya setelah dicuba MCA di Semenanjung, semasa dan selepas PRU ke-12.
Untuk beberapa hari SUPP cuba mengasak isu ini kepada DAP, namun serangan ini berjaya dipatahkan apabila pemimpin PAS seperti bekas Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin, Mohamad Sabu dan lain-lain tampil untuk meredakan keresahan dan keraguan komuniti Cina-bukan Islam.
Sesungguhnya, suasana politik Sibu diselubungi ketakutan, lantaran kawalan sosialnya yang begitu ketat, bukan sahaja perisik di merata tempat, tetapi jalinan hubungan yang rapat dalam komuniti tersebut sehingga hilang kerahsiaan peribadi. Penduduk didapati masih bersikap dingin terhadap politik, takut diambil gambar dan menyatakan pendirian secara terbuka, kata Wong Shu Qi (gambar atas).
Namun demikian, keadaan berubah sedikit demi sedikit sebagaimana yang diperhatikan dalam PRK Sibu ini. Jenise Lee berkata, biarpun ramai pengundi yang menunjukkan sokongan terbuka mereka kepada SUPP, tetapi mereka sebenarnya menyokong DAP-PR secara senyap-senyap ketika memangkah undi. Malah, Lim Kit Siang yang 10 tahun lalu perlu disorok di hotel sebelum dan selepas ceramah, kini lebih disenangi dan disambut mesra oleh penduduk tempatan.
"10 tahun yang lalu, suasana begitu janggal, di mana komuniti tempatan bimbang ancaman 'pengaruh luar', iaitu dari semenanjung, tapi kali ini mereka mengalu-galukan kedatangan kami, malah mengundang kami supaya lebih kerap melawat tempat mereka," kata Jenise Lee.
Strategi SUPP berkecamuk
Langkah SUPP nyata berkecamuk apabila berdepan dengan serangan DAP-PR. Dalam beberapa hari yang terakhir, SUPP dikatakan mengupah wartawan senior dari Kuching untuk menyediakan bahan kempen, malah mengupah syarikat pengiklanan untuk mereka iklan SUPP-BN, kata Wong Shu Qi.
Pemilikan media cetak mungkin antara faktornya SUPP merasakan dirinya tidak memerlukan media internet, lantas bersikap kurang mesra kepada wartawan media internet yang datang dari Semenanjung Malaysia. Jika dibandingkan dengan perang media yang dilancarkan oleh DAP, yang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan sms, email dan sebagainya, SUPP jelas masih belum menyesuaikan diri dengan pengunaan media baru.
"Wartawan (khususnya media internet) mengadu kerana gagal menemui calon SUPP-BN. Kain rentang mereka masih ditulis dengan tangan. Mereka hanya menyediakan kenyataan media mereka dalam hard copy, meminta pendrive daripada wartawan pula apabila diminta soft copy-nya, seolah-olah tiada konsep 'email' untuk mereka," kata Wong Shu Qi.
Sebaliknya, DAP lebih tersusun dalam mengatur serangan kempennya. Menyedari bahawa calonnya, Richard Wong Ho Leng yang dianggap "kurang mesra", menurut hasil soal selidik sebelum bermula PRK Sibu, maka DAP menampilkannya imejnya yang mesra dalam bahan kempen pusingan pertama.
Malah, Wong Shu Qi mendapati bahan kempen DAP-PR sebenarnya menyentuh hati pengundi, apabila isu yang dibangkitkan mengusik apa yang terpendam dalam hati pengundi. Misalnya, masalah generasi muda berpindah ke luar negeri untuk mencari nafkah, berikutan pembangunan Sibu yang semakin menjunam, ditampilkan dengan poster orang tua menunggu kepulangan anak setahun sekali.
Selain daripada itu, Jenice Lee juga menceritakan bagaimana DAP-PR menangkis serangan SUPP-BN, yang menaikkan papan dengan mesej "undi kepada DAP adalah undi kepada PAS, yang akan berakhir dengan ketidakaslian mee kampua. Mee Kampua ialah makanan tempatan kesukaan penduduk Sibu, yang dimasak dengan daging dan minyak khinzir. Mesej tersirat dalam iklan ini adalah, negara Islam yang ditubuhkan PAS akan mengharamkan daging khinzir.
DAP-PR lantas membalas dengan iklan "rambut putih dalam Mee Kampua lebih dahsyat", menyasarkan serangan kepada Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang sudah 29 tahun menguasai bumi kenyalang itu, yang semestinya mencungkil rasa tidak puas hati orang ramai, kata Jenise Lee.
Apa yang lebih menarik, ketika menangkis serangan slogan "gai bian" (Jom Ubah) daripada DAP, SUPP menggunakan slogan "gai ge" (reformasi), satu slogan yang sekian lama dilaungkan oleh pembangkang sekiranya diterjemah ke dalam bahasa Melayu.
"Revolusi warga emas"
Berbeza dengan pola pengundian PRU ke-12 dan PRK selepasnya, di mana pengundi muda lebih memihak kepada PR, PRK Sibu ini menyaksikan bagaimana warga tua turut menyumbang kepada kemenangan DAP-PR. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan oleh Ong Boon Keong, kebanyakan pemuda bekerja di luar negeri, yang dijangka mencakupi 10%-15% jumlah pengundi, atau 6,000 hingga 9,000 orang.
Malah, pengundi yang berada dalam lingkungan usia antara 21 hingga 29 tahun adalah 9%, dan 30 hingga 39 tahun ialah 25%. Ong Boon Keong (gambar kiri) menyifatkan kemenangan DAP-PR dalam PRK Sibu sebagai revolusi warga emas!
Ini krisis kepada SUPP-BN, apabila orang tua yang pada asalnya penyokong BN, kini juga berpaling untuk menyokong PR, kata Tian Chua. Jenice Lee pula berkata, masalah geran tanah dengan hak milik pajakan 66 tahun menjadi pukulan maut kepada SUPP-BN, biarpun Ketua Menteri mengumumkan pengurangan bayaran pada saat-saat akhir.
Keadaan ini berlaku kerana seandainya seseorang membeli rumah pada sekitar umur 30 tahun, beliau terpaksa merunsing dengan masalah tanah kerana kemungkinan besar tanah yang dibelinya akan digaris merah (untuk kegunaan pembangunan kerajaan), pada akhir tempoh luput gerannya. Seandainya ia berlaku, ia membawa makna pelaburan seseorang akan menjadi tidak terjamin.
"Mungkin sebab ini orang tua bangkit menuntut perubahan," seloroh Jenice Lee .
MerdekaReview
Tiada ulasan:
Catat Ulasan