Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mencabar Menteri di Jabatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengeluarkan  kenyataan bagi membantah kelulusan lesen judi yang diberikan kepada  Berjaya Group oleh Kementerian Kewangan.
Pemangku ketuanya,  Herman Samsudeen berkata Jamil Khir semalam dilihat lantang mengeluarkan  kenyataan bahawa Peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini  mestilah seorang yang beragama Islam namun dalam hal judi ini beliau  mengambil pendekatan pasif. 
"Dimanakah suara lantangnya itu?
"DPPWP  juga mencabar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan semua mufti  dinegara ini untuk tampil ke hadapan menghalang tindakan kerajaan  meluluskan judi bola sepak piala dunia serta semua aktiviti judi dalam  negara ini," katanya.
"Kita tidak mahu mereka menjadi mufti yang  harus sana harus sini, tetapi bila bertembung perkara yang haram dengan  kepentingan periuk nasi mereka, mufti-mufti ini menutup mata dan  menyembunyikan ilmu mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu beliau  berharap para Mufti dan golongan yang faham agama bangkit untuk  menentang kezaliman akhlak ini. 
Judi jelasnya adalah haram dan  ianya bukan hanya haram untuk mereka yang beragama Islam, tetapi kepada  semua manusia.
"Walaupun mereka bekerja dengan Kerajaan Malaysia  yang mana Perdana Menteri dan Menteri kewangannya serta kabinetnya  bersatu menghalalkan judi, tetapi para Mufti dan mereka yang faham agama  harus bangkit menentang dan tidak mentaati keputusan mungkar itu,"  katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan