Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa PAS akan tetap mempertahan dan mendaulatkan empat prinsip utama dalam negara iaitu Islam agama rasmi, hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-raja Melayu.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, empat prinsip tersebut akan dipertahankan oleh PAS dalam apa jua cara dan situasi.
Tegasnya, Islam akan tetap dipertahankan sebagai agama rasmi negara yang harus dimartabat dan didaulatkan, begitu juga hak keistimewaan orang-orang Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, Bahasa Kebangsaan yang menjadi penyatuan utama semua rakyat dalam negara ini akan tetap dimartabatkan.
“Hak Sultan-Sultan Melayu jua akan tetap dipertahankan supaya ia tidak diperkotak-katikkan dan menjadi payung kepada semua rakyat yang berada dalam negara ini," katanya.
Ke empat asas ini juga telah dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk dipertahankan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini telah termaktub dalam satu dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin ke tiga-tiga parti dalam Pakatan.
Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut mencabar Perkasa yang sebelum ini lantang menguar-uarkan bahawa mereka adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak agama Islam dan bangsa Melayu supaya turun padang bersama-sama untuk berdemonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian sempena bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi.
"Kita mahu melihat Perkasa dan juga para mufti seluruh seluruh negara supaya tunjukkan keberanian mereka untuk menyatakan yang benar bahawa judi itu adalah haram.
“Kelulusan lesen perjudian oleh kerajaan itu juga adalah haram. Oleh kerana itu kita ingin lihat setakat mana keberanian mereka untuk menegakkan hukum Allah tersebut dalam isu ini," ujarnya lagi.Mujahid berkata demikian dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Mertajam dengan kerjasama Lajnah Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang di Bukit Teh, Seberang Perai Tengah malam tadi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan