Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menggesa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana merujuk dirinya sebagai “wanita pertama” atau “first lady” – satu tindakan yang dianggap menderhaka.
“Kenyataan ini dilihat tidak wajar dikeluarkan oleh beliau kerana jika merujuk kepada Perlembagaan Negara, Artikel 32, gelaran itu sepatutnya diberikan dan dipegang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung selaku isteri kepada Pemimpin Tertinggi Negara.
“Gelaran ini sama sekali tidak harus menjadi pertikaian dan juga hasrat bagi sesiapa sahaja untuk memilikinya kerana ia jelas tertulis dari sudut Perlembagaan Negara,” katan Zuraidah (kanan) dalam kenyataan media hari ini.
Zuraidah merujuk kepada iklan dua muka surat yang disiarkan di New York Times, bulan lalu yang mengucapkan tahniah kepada “Rosmah, Wanita Pertama Malaysia” sempena dikurniakan Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.
Iklan 16 April itu juga dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama yang mendapat perhatian blog Malaysia Today, yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang kini diburu kerajaan.
Laman web itu juga melaporkan iklan yang dianggarkan bernilai RM10 juta itu juga memuatkan gambar besar Rosmah dengan tajuk “Malaysia berbangga dengan anda”.
Menurut Bernama, kos berkenaan ditampung oleh “keluarga dan sahabat Rosmah di Amerika dan Malaysia”.
Zuraidah berkata sikap Rosmah yang kerap mengganggap dirinya sebagai “The First Lady” bukan sahaja dilihat sesuatu yang tidak sopan tetapi menunjukan beliau seolah-olah cuba membelakangi Istitusi Diraja.“Amat dikesali apabila seorang isteri Perdana Menteri begitu dangkal dan cetek fahaman politiknya sehinggakan bagi menaikkan diri, beliau sanggup membelakangi Raja Permaisuri Agung dan sekaligus dilihat sebagai satu tindakan yang menderhaka.
“Kami ingin menasihati kepada semua rakyat agar tidak mencontohi kelakuan biadap sebegini semata-mata ingin meraih sokongan politik sehingga sanggup melanggar Perlembagaan Negara,” katanya lagi.
Rosmah juga didesak supaya tidal lagi menggunakan gelaran tersebut di mana-mana sahaja beliau berada.
sumber : Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan