Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 17 Mei 2010

SIBU : FAJAR KEBANGKITAN RAKYAT SARAWAK

Ahli parlimen Sibu yang baru, Wong Ho Leng mengisytiharkan kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil semalam sebagai 'fajar kebangkitan rakyat Sarawak'.
Menurut Wong yang juga pengerusi DAP Sarawak, dengan kemenangan Pakatan Rakyat, mana-mana parti politik tidak lagi boleh mengambil-mudah isu kemiskinan, rasuah dan perompakan harta rakyat Sarawak.

"Terima kasih Sibu. Terima kasih Malaysia. Selangkah memenangi Sibu, selangkah lagi kita menghampiri Putrajaya," kata Wong disambut tepukan gemuruh hadirin.

"Mulai hari ini, mana-mana orang tidak lagi akan berani mengambil kesempatan ke atas kita, rakyat Sarawak," katanya.
Bagi beberapa penganalisis politik kemenangan Pakatan Rakyat mengoyahkan cengkaman BN di Sarawak, di mana jumlah kerusi parlimen yang besar di negeri ini menjadi penentu pembentukan kerajaan pusat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Walau majoriti yang diperoleh agak kecil, namun keputusan menyaksikan BN kehilangan lebih banyak undi masyarakat Cina. Sokongan masyarakat bumiputera - Dayak kepada Pakatan Rakyat juga dikatakan mencatat peningkatan.

Wong mengucapkan penghargaan kepada penyokong Pakatan Rakyat dan berkata kemenangannya turut dikongsi bersama pengundi Sibu yang peka dan sedar akan tanggungjawab mereka.
"Malam ini rakyat Sibu mencipta sejarah. Kemenangan ini bukan milik saya, tetapi kemenangan untuk semua pengundi Sibu yang sedar. Minggu lalu sahaja kita tidak akan percaya Pakatan Rakyat mampu menang, tetapi malam ini satu keajaiban berlaku, keajaiban yang kita jayakan bersama," kata Wong.

Namun begitu, Pakatan Rakyat memberi jaminan bahawa suara rakyat Sibu, walau apapun keanggotaan parti politik mereka, tidak akan diabaikan.

"Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih pada pengundi Sibu di atas keberanian mereka melakukan perubahan. Saya akan berkhidmat sebaik-mungkin kepada semua, sama ada mereka undi saya atau tidak. Saya mahu menjadi kawan kamu, dan kamu adalah kawan saya," kata Wong.

Tiada ulasan: