Parti Rakyat Bersatu Sarawak bersedia berdebat dengan Pakatan Rakyat hanya jika parti Islam Pas menggugurkan nilai-nilai Islam dari perlembagaannya.Pengerusi Bahagian Sibu, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata pihaknya hanya akan menjawab propaganda 'Negara Islam' yang SUPP sebarkan hanya jika Pas tidak lagi mengangkat Al-Quran sebagai panduan utama parti itu.
Akhbar Borneo Post hari ini melaporkan, SUPP menuntut parti Islam itu menggugurkan Al-Quran jika Pakatan Rakyat mahu mendebatkan isu 'negara Islam'.Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam mencabar SUPP mendebatkan isu ini, selepas BN didapati menyebarkan propaganda 'Satu Undi Untuk DAP ialah Undi Untuk Pas dan Negara Islam' dalam kempen pilihanraya Sibu.
Papan iklan berbaur hasutan turut dinaikkan di serata pekan Sibu, dengan mesej yang mendakwa, budaya masyarakat bukan Islam akan terhapus jika Pakatan Rakyat diberi peluang di Sarawak.Di sidang akhbar hari ini, dengan nada yang amat kesal dengan provokasi SUPP ini, Kit Siang menyeru rakyat Sibu untuk menolak politik fitnah yang mengajak kepada permusuhan.
"Saya menyeru rakyat Sibu untuk menghapuskan 'senjata pemusnah' ini kerana ia fitnah sepenuhnya. BN telah menggunakannya di Semenanjung Malaysia, contohnya pada 1999, mereka dakwa tidak lagi boleh makan khinzir, tiada lagi tokong dan tiada lagi sekolah Cina. Ini adalah tidak benar, bahkan dinafikan oleh pemimpin Pas," tegas Kit Siang.
BN yang mewar-warkan agenda 1Malaysia menolak Fasal 3 perkara 1 Perlembagaan Pas, yang menyebut komitmen menyemai nilai murni agama dalam masyarakat Malaysia. BN juga menolak perkara 2 dari Fasal yang sama yang menetapkan komitmen Pas mempertahankan kesucian Islam dari dicabuli pihak tidak bertanggungjawab.
BN juga menuntut Pas supaya meminda Fasal 7 perkara 1 yang menetapkan bahawa panduan utama parti Islam itu adalah kitab suci Al-Quran dan Sunnah, prinsip yang turut dikongsi oleh semua penganut Islam di Malaysia.
SUPP mempropagandakan isu ini dalam usaha untuk menakut-nakutkan masyarakat Kristian supaya membenci Pas dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Pakatan Rakyat memandang propaganda ini dengan serius, terutamanya mengira beberapa jam sahaja lagi menuju hari berdarah 13 Mei."BN masih lagi melihat ke belakang, walhal kita menuju ke hadapan. Pakatan Rakyat menunjukkan pendirian yang tegap dan tegas dalam semua isu terutamanya isu kalimah Allah. Yang paling utama, soal Negara Islam, bukan agenda Pakatan Rakyat. Apa yang kita mahu adalah mewujudkan kerajaan yang adil, saksama, bertanggungjawab dan bebas rasuah," jelas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzukefly Ahmad.
"DAP tidak sembunyikan apa-apa, kerana itu kita amat bersedia untuk debat terbuka. BN tanya mengapa kita takut pada 1Malaysia. Baik, saya cabar mereka untuk turun dan kita debat isu 1Malaysia. Ada berani?" soal Kit Siang.Penganut Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi berdaftar di Sibu. Tempoh kempen setakat ini menyaksikan Pas dan DAP giat merapati gereja dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat antara masyarakat Kristian dan Islam di sini.
Usaha ini adalah kesinambungan kempen Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru, yang menjamin keadilan untuk semua dan bebas diskriminasi agama.Kempen ini menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat 46 peratus, memaksa SUPP mengeluarkan amaran kepada Pas untuk tidak membawa politik Semenanjung ke Sarawak."Pakatan amat jelas dalam rangka dasar bersama. Kita tahu kita berdiri atas prinsip apa, untuk apa prinsip ini, dan bagaimana untuk mencapainya. Semua yang disebutkan dalam Model Ekonomi Baru bawaan Najib adalah idea yang menarik, namun bila ia memerlukan iltizam politik, Pakatan Rakyat jauh lebih baik," tegas Dr Dzulkefly.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan