Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma, di dalam himpunan nasihat dan kata kata hikmah yang terakam di dalam sejarah ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata; Kehancuran manusia adalah pada 3 perkara: 1) Sifat takabbur. 2) Sifat Tamak. 3) Sifat dengki. Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan ugama dan kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah. Sifat tamak pula, ia adalah musuh kepada diri sendiri dan kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Manakala sifat dengki adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh Habil.( KitabAllimu auladakum hubba aalibaiti al nabi. ms 30 )
Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun jiwa untuk menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah merahmati Hasan bin AliradhiaLlahu anhumadan menempatkan kita bersamanya dan para sahabatradhiaLlahu anhumdi syurgaNya.
Inilah 3 sifat buruk yang disebut di dalam al Quran sebagai punca awal maksiat sang makhluk kepada tuhannya. Sebelumnya tiada satupun makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada tuhan sang pencipta yang maha agung.
Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong Iblis yang enggan sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran dan kekufuran,lalu iblis dilaknat Allah.
Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan tipudaya iblis daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati pokok sambung nyawa di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk kekal hidup tanpa mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan daripada pokok itu, lalu baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga disebalik taubatnya yang diterima Allah.
Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di muka bumi yang dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri, Habil kerana sifat dengki yang meluat luat sehingga membutakannya daripada mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.
Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa ketiga – tiga sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan manusia selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita cerita awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat sifat tersebut di dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.
Sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu. Ia bermaksud membesar diri dan membangga banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat sifat buruk yang lain. Ini kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata mata.
Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda – tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin.
Selain itu, antara tanda tanda takabbur lagi adalah suka menyucikan diri sendiri dan memuji mujinya, berbangga dengan keturunannya dan menunjuk nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya, kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain lain lagi.
Sifat tamak pula adalah keinginan melampau untuk menikmati harta dan kedudukan. Tamak terhadap harta ada 2 peringkat;
Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh sungguh menperolehinyamelalui jalannya yang harus dan dibenarkan.Ini tetap tercela kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan masa itu adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya.
Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui hadyang dibenarkan syara . Ia memasuki jalan jalan haram tanpa lagi menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit asy syuhh( terlalu bakhil ) yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.
Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam:Berhati hatilah kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhhitu telah menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan. ( Riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)
Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah lebih buruk daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;
Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta.Ini cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.
Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara perkara ugama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk buruk ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.
Manakala sifat dengki pula, maka ia adalah lawan sifat suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah penyakit yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Allah menyuruh nabiNya berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang berdengki. ( Surah al alaq; 5)
Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara; permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain lain penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di kalangan sendiri, kawan kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.
Itulah gambaran ringkas keburukan 3 penyakit utama yang menghancurkan manusia sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin AliradhiaLlahuanhu.
Semoga Allah memudahkan kita untuk menjauhi diri daripada berakhlak dengan akhlak – akhlak yang buruk dan terhina. Bersamalah menghias diri dengan sifat – sifat ugama yang mulia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan