Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 19 Jun 2010

AWAS PROPAGANDA BARAT TERHADAP ISLAM

Pihak Kuffar Barat tidak pernah dan akan berhenti membenci dan sentiasa merancang siang dan malam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Mereka pada setiap ketika mencari-mencari kelemahan umat Islam sehingga mereka mendalami serta meneliti semua perkara tentang kaum Muslimin dan Islam yang akhirnya mereka dapati bahawa kekuatan Islam dan umatnya terletak pada aqidah Islam dan pemikiran-pemikiran yang terpancar darinya. Bertolak dari situ, mereka merancang dan berusaha untuk memusnahkan Islam. Antara kaedah yang mereka lakukan adalah dengan cara menghapuskan Islam sebagai aqidah siyâsiyah (dasar sistem politik) dan menggantikannya dengan aqidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Mereka berusaha mengembangkan idea-idea yang muncul dari aqidah sekularisme ini seperti nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, Hak Asasi Manusia (HAM), kebebasan, dan politik pasaran bebas.




Di samping itu, untuk menjauhkan keinginan kaum Muslim untuk kembali kepada Islam, mereka secara terancang memberikan label-label negatif terhadap Islam dengan istilah-istilah seperti pengganas, fundamentalis, konservatif, ekstremis dan lain-lain. Mereka juga melakukan perang propaganda seperti memberikan gelaran-gelaran negatif, maklumat yang salah, memberikan persepsi yang berbeza, mengaburkan atau mengalihkan isu utama kepada isu lain serta cara-cara propaganda lain. Mereka melakukan penyesatan pandangan terhadap kaum Muslimin. Semuanya itu berpunca daripada satu perkara iaitu sebagai satu usaha untuk menghancurkan Islam sebagai satu kekuatan politik dan ideologi sekaligus menghalang tertegaknya Daulah Islamiyah dan penerapan Islam yang kâffah.


Propaganda Secara Terancang


Di antara bahagian utama propaganda adalah penyesatan pandangan. Propaganda sering diertikan sebagai suatu proses yang melibatkan seorang/pihak penyiar atau penyebar bertujuan untuk mengubah sikap, pendapat, dan tingkahlaku penduduk yang menjadi sasarannya melalui simbol-simbol yang disampaikan di dalam bentuk lisan, tulisan, dan tingkahlaku; dengan menggunakan media seperti buku-buku, lembaran, filem, ceramah, dan lain-lain. Propaganda merupakan salah satu kaedah tipikal yang digunakan oleh sesebuah kerajaan untuk mengawal keadaan/emosi, memelihara, dan menerapkan kekuasaan dalam rangka melaksanakan kepentingan dalam negaranya. (Columbus dan Wolf, Pengantar Hubungan Antarabangsa , ms. 184).


Daripada definasi di atas, propaganda merupakan perkara yang ‘wajib’ ada dalam sebuah negara, terutamanya negara yang mempunyai ideologi. Di sinilah penguasa atau rakyat sesebuah negara mesti mampu menentukan yang mana dikatakan propaganda dan mana yang tidak. Penguasa atau rakyat sebuah negara yang gagal memahami propaganda negara lain akan menjurus kepada berlakunya perubahan sikap, pendapat, dan perilakunya menurut kehendak dan matlamat kepentingan politik musuh.


Umat Islam sebagai umat yang mempunyai ideologi mesti menyedari kewujudan ’propaganda’. Propaganda dilakukan secara terancang untuk mendapat kepentingan jangka pendek atau boleh juga untuk meraih kepentingan jangka panjang. Untuk jangka pendek, contohnya, mengesahkan serangan ke atas sesebuah negara dan menjatuhkan sesebuah rejim atau pemerintahan di sebuah negara; seperti propaganda AS untuk menjatuhkan rejim Saddam Hussein, Soekarno, dan Soeharto, termasuk Taliban di Afganistan. Sebagai contoh, ketika hendak menyerang Iraq dalam Perang Teluk II, AS melancarkan propaganda dengan melakukan pembohongan maklumat kepada kongres dan rakyat AS.


Antara contoh untuk membuktikan wujudnya propaganda ini ialah dengan terbongkarnya pembohongan seorang gadis bernama Nariyah yang dikatakan menjadi saksi kekejaman tentara Iraq semasa menceroboh Kuwait. Padahal, gadis tersebut tidak pernah bekerja di Kuwait dan ketika peristiwa itu berlaku dia berada di Paris. Namun, berdasarkan kenyataan (pembohongan) gadis itulah, kongres bersetuju dilancarkan serangan ke atas Iraq. (Lihat: ZA Maulani, dalam, Terorisme dan Konspirasi Anti Islam, hlm 9). Untuk menjatuhkan rejim Taliban, AS telah melancarkan propagandanya dengan mendedahkan pengkhianatan Taliban terhadap rakyat Afganistan seperti penyeksaan dan pembunuhan, pelanggaran hak asasi wanita dan anak perempuan, perilaku rasuah, dan menggunakan Islam sebagai selubung pembunuhan etnik. (Jaringan Teroris, Kementerian Luar AS, ms 13).


Propaganda boleh dilakukan untuk kepentingan jangka panjang. Propaganda seperti ini biasanya lebih berkaitan dengan nilai-nilai ideologi yang ingin disebarkan di pihak lawan dan, sebaliknya, menanamkan ‘perasaan benci’ terhadap nilai-nilai ideologi yang dipegang oleh negara musuh. Jenis propaganda seperti ini biasanya memerlukan waktu yang panjang, dilakukan secara sistematik serta terus-menerus dilakukan. Sebagai contoh, bagaimana AS dengan aktif menyebarkan nilai-nilai ideologinya seperti sekularisme, demokrasi, Hak Asasi Manusia(HAM), kebebasan, dan konsep pasaran bebas. Sesungguhnya ini merupakan propaganda jangka panjang AS. Tujuannya jelas, iaitu untuk kepentingan AS sendiri. Sebaliknya, AS membuat pandangan negatif terhadap lawan kepada ideologinya. AS akan melontarkan tuduhan-tuduhan palsu dengan melabel ideologi yang menentangnya sebagai pengganas, ekstrimis, konservatif, dan pandangan buruk yang lainnya. Kaedah utama propaganda jangka panjang ini dilakukan oleh AS ini adalah di dalam bentuk pemalsuan maklumat, iaitu melakukan penyimpangan pandangan. Inilah yang sekarang sedang dilakukan oleh AS kepada musuh utama ideologinya, yakni Islam.

Tiada ulasan: