Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 11 September 2010

Dulu saya dah kata pasal PERKASA ni - Nazri Aziz

Oleh Clara Chooi

PUTRAJAYA, 10 Sept - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) - dalam perkembangan julung kali kelihatan mula bersatu untuk melahirkan pendirian mereka menyangkal matlamat perjuangan Perkasa dan pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali, yang mula disisihkan oleh pentadbiran Najib.

Pemimpin-pemimpin Umno yang selama ini kelihatan 'membisu' dalam melahirkan pendirian mereka, hari ini secara terbuka mengaku bahawa perjuangan Perkasa boleh memudaratkan dasar BN dan sokongan kepada perikatan 13 komponen itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa sudah sampai masanya Umno membuat pendirian tegas terhadap Ibrahim dan Perkasa.

"Saya sudah berkata perkara ini awal-awal lagi... Umno seharusnya tampil lebih awal lagi. Hanya sekarang mereka mengekori pandangan saya.

"Bagaimanapun langkah ini baik, ya, ia akan membantu kami, dalam perjuangan kami sebab langkah untuk menjauhkan diri daripada kumpulan seperti ini adalah baik.

"Perkasa bercanggah dengan dasar 1 Malaysia kami," kata beliau ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana di sini hari ini.


Najib Razak menyambut bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana pagi tadi

Nazri yang sejak dulu lagi lantang berbanding pemimpin-pemimpin Umno yang lain apabila menyentuh topik berkaitan Perkasa menambah, kesemua ahli Perkasa dan penaungnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah mereka yang berkepentingan "politik."

"Siapa mereka?" kata Nazri sambil menambah, pihak berkenaan adalah mereka yang gagal memperoleh jawatan dalam parti, lalu menyertai Perkasa.

"Dan, Dr Mahathir?" kata beliau.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga bersetuju bahawa pandangan-pandangan Perkasa "sangat berat sebelah", dan Umno tidak pernah menerima pendirian pertubuhan bukan kerajaan itu.

"Dalam Umno, apabila mempertahankan hak Melayu, kami cuba untuk berlaku adil.

"Apa yang dilakukan oleh Perkasa adalah apabila mereka membawa sesuatu, ia dilihat mereka telah gagal untuk mengambil kira pertimbangan atau kepentingan kaum-kaum lain.

"Umno tidak menerima apa yang dilakukan oleh Perkasa," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengingatkan Ibrahim bahawa negara diikat bersama oleh aspek kepelbagaian dan hidup dalam harmoni ekoran kefahaman dan aturan sosial yang sudah pun dipersetujui pada masa lalu.

"Jika kita kecewa dengan keseimbangan ini, sudah pasti ia akan membawa kepada kekecewaan.

"Itu sebab, dalam Umno, kami mempertahankan hak orang Melayu tetapi kami percaya bahawa adanya tempat bagi setiap rakyat Malaysia. Kami mahu kesemua kumpulan memahami perkara ini," kata beliau lagi.

Dalam temu bual terbaru, Dr Mahathir secara terbuka terus menyatakan sokongan beliau kepada Perkasa ketika Umno pimpinan Datuk Seri Najib Razak semakin menjauhkan diri daripada pertubuhan bukan kerajaan itu.

Dr Mahathir, yang dilihat sebagai 'orang kuat' Perkasa, telah merasmikan mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu Mac lalu.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa Najib telah meminta pemimpin-pemimpin Umno agar tidak menyatakan sokongan kepada Perkasa.

Semalam, dalam kenyataan terbuka Ibrahim berkata, Perkasa pimpinannya tidak memerlukan sokongan Umno termasuk jika pihaknya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

"Perkasa, NGO tidak memerlukan sokongan Umno atau mana-mana parti politik.

"Cuma (kami) memerlukan sokongan semua ahli seluruh negara dan rakyat biasa yang menyokong perjuangan Perkasa," kata beliau.

Sehari sebelum itu bekas ahli Umno itu membidas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hanya berminat untuk mendapatkan undi masyarakat Cina berbanding orang Melayu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, partinya tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan Perkasa pimpinan Ibrahim.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

"Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas," kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

"Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami," kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

"Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi," katanya lagi.

Sebelum ini Perkasa pernah mengatakan bahawa sesiapa yang memusuhi pertubuhan ini tidak akan menerima sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir merupakan penaung Perkasa yang dilihat mewakili pandangan kumpulan konservatif dalam Umno, yang menentang pendekatan Najib melakukan pembaharuan ekonomi atas alasan ia akan menghakis kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

"Ahli Perkasa adalah penyokong Umno. Tindakan mengetepikan mereka tidak akan membantu perjuangan Umno," kata Dr Mahathir yang juga bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Dalam pada itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga melahirkan pendirian yang seiring dengan dua rakan sejawatannya itu.

Naib Presiden Umno ini menekankan pendirian Perkasa sangat bersifat etnosentrik.

"Kita harus menolak pendirian bersifat etnosentrik di negara ini. Ia tidak harus digalakkan.

"Saya khuatir kumpulan-kumpulan lain akan mula berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing," kata beliau.

Kata Zahid, Umno kemungkinan adalah hak orang Melayu dam Bumiputera, tetapi masih berjuang bagi kepentingan bukan Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyokong pandangan Zahid dengan menegaskan bahawa Perkasa hanya berjuang untuk kaum tunggal.

"Kami berjuang untuk semua," kata Ketua Penerangan Umno ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Perkasa hanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

"Kita seharusnya berupaya untuk bercakap antara sebuah parti politik dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Mereka harus bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan itu sahaja.

"Mereka boleh adakan majlis mereka dan menjalankan program-program sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan," kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor ini.

Nazri berkata Perkasa tidak akan membawa impak ke atas Umno dan BN.

"Tiada siapa yang peduli mengenai Perkasa. Mereka hanya terkenal di media," katanya lagi.

Nazri juga meramalkan sekiranya Ibrahim bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas beliau akan kalah.

"Ini kerana beliau menipu PAS dan menang atas tiket PAS. Siapa yang akan menyokong beliau sebagai calon Bebas nanti?" katanya.

Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan juga menyatakan pendirian dengan menolak Perkasa.

"MIC gembira kerana sekarang kita sudah mula menjauhkan diri daripada Perkasa. Mereka, dalam apa jua keadaan tidak akan membantu BN," kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini.

Beberapa pemimpib MCA juga mengalu-alukan pendirian Tengku Adnan yang meminta BN menolak Perkasa.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, Ibrahim bukan seorang yang penting dan oleh itu beliau harus diketepikan.

"Kita tidak harus menaikkan darjatnya dengan memberikan terlalu banyak reaksi dan jawapan," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung juga menyifatkan kenyataan Tengku Adnan sebagai pendirian yang sangat bijak daripada seorang pemimpin Umno dan BN setakat ini.

Bagaimanapun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek enggan mengulas perkara ini.

Tiada ulasan: