Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, hari ini mengemukakan surat sebagai bukti bahawa beliau telah menolak permohonan tender nombor pendaftaran kenderaan bagi negeri Melaka iaitu MCA1 sehingga 9999 tidak dibuka kepada umum.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, salinan surat yang bertarikh 16 Mac itu menunjukkan bahawa beliau telah minitkan kepada Setiausaha Sulit Kanannya bahawa permohonan tersebut tidak dipersetujui kerana tidak wajar dan tidak digalakkan, termasuk pada negeri lain.
"Apa yang dihebohkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, adalah surat yang bertarikh 17 Februari tahun ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan saya pada ketika itu.
"Pada tarikh tersebut, saya masih bercuti sakit selepas pembedahan tumit saya. Tiada sebarang keputusan utama dibuat dan saya balik bertugas pada awal Mac.
"Pada 16 Mac, kes yang tertunggak dibawa ke perhatian saya, ada yang ditolak dan diluluskan, termasuk kes itu," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.
Selasa lalu, Kong mengemukakan surat sebagai bukti menunjukkan Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan itu yang meminta pembukaan tender bagi nombor tersebut dikecualikan.
Semalam, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata arahan supaya tender nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak dibuka untuk tawaran umum masih berkuat kuasa.
Beliau berkata, JPJ memerlukan arahan baru daripada Menteri Pengangkutan sekarang bagi membatalkan arahan menteri terdahulu untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum.
Ong berkata, sebagai Menteri Pengangkutan, Kong sepatutnya menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan jika terdapat sebarang perkara yang didapati tidak jelas dan samar.
"Bagi saya, perkara ini jika beliau tidak jelas seperti mana yang dijanjikan dahulu, beliau boleh hubungi saya pada bila-bila masa untuk mendapatkan penjelasan dan saya sanggup memberi apa sahaja penjelasan yang diperlukan.
"Tetapi sejak beliau mengambil alih jawatan itu, tidak pernah ada sebarang permintaan untuk penjelasan bagi sebarang perkara termasuk isu ini," katanya.
Ong berkata, sebagai menteri juga, Kong berhak dan mempunyai kuasa untuk memansuh atau membatalkan apa sahaja keputusan yang pernah dibuat sebelum ini termasuk kes itu.
Katanya, beliau juga sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kong yang menuduh beliau sebagai pembohong berhubung isu itu.
Mengenai kenyataan Solah, Ong berkata beliau memahami kedudukan Solah sebagai Ketua Pengarah JPJ yang perlu mengikut arahan ketuanya.
"Tapi yang saya tak faham kenapa seorang yang berstatus Menteri Persekutuan sanggup berbuat demikian. Bila samar atau tidak jelas, boleh hubungi saya atau membuat kajian sedalam mungkin dan bukan secara sembarangan, buat kesimpulan dan tuduhan liar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan