Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedih kerana sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini masih ada anasir yang sanggup mencemarkan kesuciannya dengan fitnah, pembohongan, mencetuskan isu perkauman dan menyentuh sensitiviti bangsa.
Beliau berharap apa yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani masalah perkauman dengan melaksanakan tugas tanpa pilih kasih jika melibatkan undang-undang.
Baginya, apa yang berlaku disebabkan hati mereka begitu kotor dan benci terhadap hasrat Kerajaan Pakatan Rakyat yang inginkan pembaharuan terhadap sistem pemerintahan yang dulunya dipenuhi kekotoran.
"Kata-kata perkauman yang menghina maruah dan harga diri warga Malaysia hendaklah dihentikan. Tuduh menuduh antara agama tidak akan dapat merapatkan rakyat yang cintakan kedamaian," tegasnya dalam perutusan Adilfitri yang diemelkan ke Harakahdaily.
Sepatutnya, kata beliau kejadian fitnah memfitnah tidak wajar berlaku walaupun berlainan politik sebab perbezaan boleh diperbincangkan bukan menzahirkan kebencian dan dihina.
“Malahan jika menjalinkan hubungan baik antara dua perbezaan fahaman politik demi negara pasti mendapat pujian dan sanjungan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.
Agama mana sekalipun, ujarnya tidak menganjurkan permusuhan dan kebencian tetapi membawa kebaikan insan bukannya mencetus huru hara yang boleh membawa kepada kemusnahan.
“Maka, dengan keberkatan bulan Syawal pula kita sebagai manusia harus kembali kepada sifat kemanusiaan yang jujur dengan membuang sifat-sifat buruk bahkan perlu memupuk semangat kasih sayang antara jiran, sahabat handai malahan penyokong politik mana sekali pun,” katanya lagi.
Di negeri ini, katanya perubahan tetap berlaku, contohnya untuk memartabatkan orang Melayu dan rakyat lainya tetap diberikan keutamaan bagi menjadikan mereka lebih dinamik, daya kepakaran dan daya keusahawanan.
Justeru itu, ujarnya kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar terhadap Hal Ehwal Islam berbanding di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya RM12.5 juta tahun 2008.
"Semoga semangat Syawal akan membentuk hati kita menerima hakikat bahawa kita adalah warga yang bersaudara dalam sebuah negara yang dibina secara bersama. Ikhlas dari saya, maaf zahir dan batin," ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan