Kerajaan tidak menyambung kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, yang tamat pada 12 September ini dan bakal digantikan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar, berkuat kuasa selepas tarikh berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengumumkannya semalam berkata, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hussin Ismail akan menggantikan Ismail sebagai Timbalan KPN.
“KPN dan Timbalan KPN adalah jawatan khas mengikut Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, di mana cadangan lantikan ke jawatan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Sehubungan itu, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Tan Sri Musa selama 41 tahun dalam pasukan polis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya, di sini semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, Musa dan Ismail.
Mengenai tarikh Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda berhubung pelantikan KPN, Hishammuddin berkata, ia terserah kepada Perdana Menteri.
Mengulas sama ada keputusan tidak menyambung kontrak Musa, 59, dan digantikan dengan Ismail, 56, berikutan desakan pihak tertentu, beliau berkata, keputusan itu dibuat tanpa sebarang tekanan mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Pada Mac lalu, akhbar melaporkan Musa menghantar surat peletakan jawatan kepada Hishammuddin, iaitu lima bulan sebelum tamat tempoh kontrak perkhidmatannya.
Bagaimanapun, Musa menafikan laporan itu, termasuk dakwaan beliau bakal meletak jawatan secara rasmi pada 25 Mac pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-203 Hari Polis.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, Musa akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran beliau kepada negara khususnya untuk menerajui penubuhan Akademi Latihan bertaraf antarabangsa di Langkawi.
“Penubuhan akademi ini bertujuan menangani jenayah merentasi sempadan seperti jenayah siber, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram, antipengganas, pengurusan krisis dan risiko.
“Justeru, saya berharap Musa dapat mengetuai penubuhan akademi ini kerana ia bertujuan meningkat dan memperkemaskan jaringan rangkaian agensi penguat kuasa tempatan dengan agensi antarabangsa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan