Apabila Islam dimuliakan pasti Muslim beroleh kejayaan. Tetapi apabila Islam dipinggirkan pasti Muslim beroleh kehinaan. Sejarah telah membuktikan ketika pemerintah 'Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; Mesopotamia, Syam, empayar Parsi, Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia berjaya ditawan olehnya. Sebanyak 1036 bandar ditawan dan 4,000 masjid dibina.
Kekuatan umat Islam pada ketika itu terbukti apabila berlaku peperangan Yarmuk menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang telah berjaya menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hanya berbekalkan iman dan takwa mereka berjaya. Jelaslah bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada kuantiti sebaliknya pada kualiti seorang pejuang.
Firman Allah, maksudnya: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah." (surah al-Baqarah, 2: 249).Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: "Janji Allah pasti benar, dan sesungguhnya pertolongan dari Allah tidaklah bergantung kepada kuantiti atau kelengkapan perang". (Tafsir al-Quran al-'Adzhim).Maksudnya, apabila Allah menghendaki kemenangan sesuatu golongan, maka ia pasti berlaku walaupun jumlah mereka kecil atau kelengkapan mereka kurang.
Hari ini, jumlah atau kuantiti menjadi satu medium penting manusia untuk mencapai apa yang dicita. Politik hari ini sentiasa cintakan jumlah. Kukuhnya ekonomi juga bergantung kepada jumlah. Kekuatan tentera hari ini turut bergantung kepada jumlah.
Tetapi manusia lupa tingkatkan jumlah iman di hati. Menyebabkan segala jumlah yang ada sia-sia. Tiada usaha untung menghitung jumlah iman. Seruan untuk iman hanyalah selingan, dunia diberi keutamaan dan kemenangan sering didoakan. Jika keadaan seperti ini berterusan, bagaimana nak harapkan bantuan Allah ke atas kalian?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan