Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 13 November 2010

NAJIB BARU TAHU KEADAAN ICU MACAMMANA

Datuk Seri Najib Razak menceritakan detik cemas pada malam 4 November lalu apabila beliau mula diserang komplikasi akibat penyakit cacar di kediamannya dan pada masa sama, gembira menerima berita kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah.

Pada masa itu Perdana Menteri yang berada di bilik air diselamatkan, dan dibantu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa ke katil sebelum dirawat dengan lebih lanjut.

Doktor kemudian memberitahu, saya tiada pilihan lain dan masukkan saya ke dalam wad ICU (Unit Rawatan Rapi). Pengalaman di ICU bukanlah sesuatu pengalaman yang kita hendak sangat (pun)," katanya, yang dibenar keluar dari wad orang kenamaan Hospital Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Najib berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di Wad Diraja Hospital Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membaiki keadaan di ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila memulakan tugasnya semalam berkata, beliau melihat sendiri keadaan yang daif di wad berkenaan ketika menerima rawatan di situ.

Katanya Kementerian Kesihatan juga diminta membeli peralatan menaik taraf unit itu secepat mungkin supaya boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat selaras slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Najib yang menyifatkan pengalaman di wad berkenaan sebagai pengalaman manis turut mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua warga Kementerian Kesihatan yang membantu merawatnya sehingga dapat pulih
dan mula bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Dalam ucapannya itu, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil mudah terhadap nikmat dikecapi hasil keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perdana Menteri berkata dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka.

Ini satu peringatan yang saya ambil iktibar daripada pengalaman (saya di hospital) bahawa banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa.

Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai, katanya, sambil menjelaskan bahawa analogi berkenaan diperoleh hasil pengalaman dirawat dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ujian endoskopi dilakukan ke atas Najib menunjukkan ada tanda-tanda ulser dan gastritis ringan.

Sementara itu, Najib yang tiba di pejabatnya di Putrajaya pada 9.20 pagi semalam, kelihatan tersenyum dan menyapa petugasnya sebelum memasuki Bilik Mesyuarat 10 minit kemudian.

Beliau disambut dengan tepukan oleh menteri-menteri Kabinet yang terlebih awal menunggu. BERNAMA

Tiada ulasan: