Mungkin ramai masih ingat Kelantan melarang qariah menyertai tilawah membaca al Quran sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sejak 20 tahun lalu.
Larangan dibuat memandangkan suara wanita yang mengalun bacaan al-Quran secara merdu dikategorikan sebagai aurat.
Namun sedikit perubahan dibuat mulai tahun ini, di mana peserta qariah dibolehkan menyertai tilawah yang diadakan secara tertutup.
Bagaimanapun polisi asal yang ditetapkan iaitu suara wanita yang mengalunkan bacaan secara merdu tetap dianggap aurat.
Ujian saringan diadakan semalam dan hari ini di Balai Islam Lundang secara tertutup. Orang lelaki tidak dibenarkan masuk.
Manakala tilawah peringkat negeri kali ke-54 akan diadakan mulai 13 hingga 16 Mei ini. Perasmiannya diadakan malam 13 Mei oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Acara penutup dan penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan pada malam 16 Mei.
Bagaimanapun peserta qariah hanya memperdengarkan bacaan pada sebelah pagi secara tertutup, manakala peserta qari sebelah malam.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Ustaz Mohamad Awang berkata, sedikit perubahan dibuat tahun ini apabila tilawah peserta qariah dibenarkan diadakan secara berasingan.
“Acara tilawah qariah diadakan secara tertutup sebelah pagi dan hanya boleh diikuti golongan muslimat sahaja. Sebab suara wanita apabila dialunkan dengan merdu ia menjadi aurat.
“Mengalunkan al-Quran tidak menjadi kesalahan bagi kaum Hawa, bagaimanapun ia hendaklah didengari sesama mereka sahaja.
“Seperti juga kerajaan negeri menyediakan tempat riadah untuk kaum wanita sebagai menzahirkan Islam tidak menghalang riadah atau bersukan, namun ia hendaklah secara tertutup,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Beliau juga berkata, perubahan baru dibuat bagi memastikan golongan wanita turut berlumba-lumba mendalami ilmu al Quran di samping memahami pengertian ayat-ayat al-Quran.
Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak juga berkata, perubahan dibuat tahun ini bagi mengelakkan bakat di kalangan qariah pupus di Kelantan.
Bagaimanapun katanya, biar pun dibenarkan peserta qariah menyertai tilawah, namun kerajaan negeri tetap tidak akan menghantar wakil qariah pada tilawah peringkat kebangsaan.
“Ia terpulang kepada peserta qariah yang bakal muncul sebagai juara nanti. Kalau johan qariah hendak menyertai tilawah peringkat kebangsaan kerajaan negeri tidak menghalangnya.
“Namun penyertaannya di atas sifat peribadi dan bukan sebagai wakil peserta qariah dari Kelantan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan