ZUL YAHYA
Bersepakat dalam perkara merapu hampir tidak mungkin berlaku tanpa perancangan. Apabila tiba-tiba semua media talibarut BN bersepakat menggunakan istilah kumpulan ‘Erdogan’ dan ‘Anwariyun’ kepada beberapa individu bukan ulamak yang menang dalam muktamar PAS baru-baru ini, maka tidak syak lagi ianya suatu perancangan dalam membuat tuduhan terhadap PAS.
Erdogan’ adalah nama yang diambil dari Perdana Menteri Turki, Reccep Teyeib Erdogan yang memimpin Parti Kebajikan (AK). Bekas Ketua Pemuda Parti Refah (parti Islam Turki) bukan seorang ulamak tetapi memimpin parti yang membawa misi dan visi Islam. Refah atau AK adalah parti yang dipelopori aktivis Islam tetapi kerana Turki yang sekular mengharamkan parti Islam, maka AK dipimpin Erdogan dengan imej samaran dan bukan dipimpin ulamak.
Jika imej ‘Erdogan’ itu yang mahu dilabelkan kepada golongan bukan ulamak dalam PAS, maka ia adalah usaha yang sangat terdesak untuk memecahkan ulamak dan bukan ulamak dalam PAS. Tidak pernah wujud pertikaian antara ulamak dan bukan ulamak, jauh sekali dari kewujudan kem atau kumpulan.
Kebetulan pemilihan dalam Muktamar Tahunan PAS ke 57 kali ini, menyaksikan semua pemenang jawatan Timbalan dan Naib Presiden adalah individu bukan ulamak. Tapi kebetulan yang lain pula Ketua Pemuda dan Muslimat adalah ulamak. Bahkan dalam pemlihan Pemuda, lagi berlaku kebetulan, 13 dari 17 yang dipilih mewakili saf kepimpinan Pemuda adalah dari kalangan ulamak. Sebenarnya siapa pun yang terpilih, jika berlaku persamaan, ia hanya kebetulan dan bukan perancangan dari mana-mana pihak.
Setiap perwakilan yang memangkah kertas undi, memikirkan individu yang dia rasakan layak untuk berada di tempat tersebut. Semua calon yang bertanding adalah ahli PAS, justeru perwakilan tidak akan memikirkan individu ini dari kumpulan ulamak atau tidak kerana semua tahu bahawa tidak wujud pun kumpulan serupa itu. Jika terdapat perwakilan yang terfikir untuk memilih ulamak semuanya, maka ia keputusan individu perwakilan bukan dorongan dari mana-mana kumpulan.
Soalan yang popular ditimbulkan oleh ahi-ahli PAS pada muktamar kali ini ialah; mengapa semua media talibarut BN, khususnya Utusan Malaysia, tiba-tiba begitu prihatin untuk membariskan ulamak dalam kepimpinan PAS, walhal sejak berpuluh tahun ulamak dalam PAS itulah yang menjadi sasaran maki hamun dan fitnah mereka?Tiada apa yang ikhlas dari lubuk hati editor media-media talibarut BN itu, melainkan cubaan mahu memecahbelahkan PAS.
Mungkin kerana penggunaan label ‘Erdogan’ tidak berkesan, maka mereka mencari label baru terhadap individu-individu (yang mereka dakwa kumpulan) dari kalangan bukan ulamak yang menang jawatan-jawatan penting dalam PAS. Label tersebut ialah ‘Anwariyun’, kononnya mereka adalah golongan pro Anwar yang mendapat ‘arahan langsung’ dari Ketua Pembangkang itu.
Sepanjang menjadi pendengar sepenuh masa dalam muktamar yang berlangsung selama tiga hari, saya tidak mendengar barang sepatah perkataan ‘Anwar’ diucapkan oleh perwakilan serta pihak kepimpinan ketika berucap. Mungkin saya terlepas dengar atau keluar dewan muktamar sewaktu namanya disebut, lalu saya melakukan pemeriksaan terhadap rakan-rakan perwakilan yang lain, semuanya bersetuju nama Anwar langsung tidak disebut dalam Muktamar PAS. Perwakilan yang membawa usul membantah fitnah video lucah juga tidak menyebut nama Anwar, kerana fokusnya terhadap isu fitnah bukan pembelaan terhadap mana-mana individu.
Ulasan ini tidak bermaksud untuk memberitahu bahawa Anwar sudah diketepikan oleh PAS tetapi sekadar menjelaskan bahawa pembelaan terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim bukan agenda penting dalam perjuangan PAS. Anwar sendiri pun bersetuju bahawa isu kontroversi yang dipaksakan terhadapnya oleh BN hanya untuk mengalih segala kebejatan yang dilakukan oleh BN. Malah dalam mana-mana ceramah Anwar mutakhir ini, beliau tidak beriya-iya mempertahankan dirinya. “Malas nak layan dan buang masa,” itu yang sering diucapkannya.
Paling menarik apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dikaitkan dengan ‘Anwariyun’. Sejak tercetus isu Anwar pada 1998 sehingga ke hari ini, Mat Sabu pernah melahirkan simpati terhadap Anwar yang dizalimi oleh BN tapi peminat ceramah Mat Sabu tidak pernah mendengar beliau berhujah mempertahankan Anwar dalam isu-isu tuduhan moral hingga ke aspek teknikal seperti yang dilakukan oleh penceramah tertentu. Mohamad Sabu tidak pernah menjadi ‘peguambela’ Anwar dalam ceramahnya.
Sewaktu negara sibuk dengan isu kerajaan 16 September, Mohamad Sabu muncul dengan kenyataan, “Selama ni saya dok ceramah ajak rakyat tukar kerajaan melalui pilihanraya, saya tak reti kalau nak tukar kerajaan melalui lompat parti, itu bukan cara saya.”
Sekali lagi jangan silap faham, bukan untuk menyatakan perbezaan antara Mat Sabu dan Anwar. Tahalluf siyasi dalam Pakatan Rakyat pasti berlangsung dengan baik dengan terpilihnya Mohamad Sabu di kedudukan nombor 2 parti. Apa yang dinukilkan adalah untuk memberitahu bahawa dakwaan kononnya Mat Sabu adalah dari golongan ‘Anwariyun’ adalah tuduhan yang sangat melucukan.
Hakikatnya golongan ‘Erdogan’ atau ‘Anwariyun’ tidak pernah wujud dalam PAS. Ia adalah ciptaan musuh untuk membina persepsi buruk rakyat terhadap PAS, kononnya PAS berpecah, PAS tiada jati diri dan menerima petunjuk dari luar.
Semua itu adalah arahan terancang BN melalui media-media talibarut mereka. Siapa lagi yang bijak dan berupaya melakukan semua ini kalau bukan perunding Yahudi BN yang dibayar berjuta-juta dari duit rakyat dalam usaha memulihkan imej BN pasca Tsunami 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan