Ramai di kalangan guru-guru Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) merungut kerana dipaksa menghadiri program makan malam 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri di sebuah sekolah Cina di Machap Baru malam ini.
"Kami sudah tidak tahan dengan paksaan sebegini, bayangkan kami yang kebanyakan wanita dipaksa hadir pada program tersebut sehingga pukul 12.00 malam".
"Ada yang dari Sungai Rambai dan lain-lain tempat yang jaraknya agak jauh dari Machap Baru, kami berasa kesal dengan Jaim dan Kerajaan Negeri Melaka yang seringkali memaksa kami hadir pada program bersama pemimpin" kata seorang guru yang tidak mahu namanya disiarkan.
Selain itu menurut guru tersebut murid-murid sekolah Jaim juga dipaksa balik awal iaitu pada pukul 4.30 petang.
Menurutnya sudah banyak kali sekolah diarahkan ditutup awal hanya kerana program-program bersama pemimpin kerajaan pusat.
Apa yang dikesalkan ialah semua guru-guru diwajibkan hadir dan sesiapa yang didapati tidak hadir akan diambil tindakan tegas oleh Jaim.
"Masa murid-murid belajar digadaikan hanya semata-mata kerana politik" tegas seorang bapa yang kesal.
Menurutnya satu lagi masalah timbul ialah ibubapa juga menghadapi kesulitan kerana terpaksa mengambil anak mereka lebih awal iaitu pada pukul 4.30 petang sedangkan majoriti dari mereka bekerja dan pulang paling awal jam 5.00 petang.
"Saya risau dengan keselamatan anak saya yang terpaksa menunggu saya mengambilnya agak lewat iaitu sekitar jam 5.45 petang".
"Anak saya kadang-kadang terpaksa menunggu saya seorang diri, siapa yang dapat menjamin keselamatan anak saya sedangkan sekarang ini bermacam jenayah berlaku melibatkan anak-anak sekolah" tegas beliau.
Tindakan Jaim dan kerajaan negeri Melaka benar-benar merugikan pembelajaran anak-anak kerana masa belajar menjadi pendek selain ianya membebankan guru-guru dan juga keselamatan murid-murid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan