Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa Kerajaan Malaysia supaya bersikap profesional dalam menyantuni pelajar-pelajar yang bersama-sama menyokong rakyat Malaysia di Kuala Lumpur serta 25 bandar utama seluruh dunia yang berhimpun menuntut 8 tuntutan rakyat bagi pilihanraya yang bersih dan adil.
Pengerusinya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) di Kaherah yang mengancam dan mengugut mereka yang berhimpun di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah Sabtu lalu untuk menarik balik pemberian zakat dan biasiswa mereka.
“Sedangkan pada hemat kami, para pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap sebarang undang-undang rimba Malaysia terutamanya Seksyen 27 Akta Polis seperti mana di Malaysia yang melarang lebih 5 orang berkumpul tanpa permit,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh JPM jelas sekali berbau politik dan berbentuk ugutan yang sama sekali tidak berasas sedangkan pemberian zakat kepada para pelajar kita bukanlah berasaskan kepada politik dan baju yang dipakai oleh pelajar tetapi berdasarkan asnaf dan hukum.
Justeru, ujarnya Pemuda PAS mencabar JPM untuk menarik pemberian zakat kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang menghadiri himpunan Bersih di Kaherah baru-baru ini sekiranya mereka benar-benar ingin menjadi keldai kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, kenyataan dangkal oleh Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Aziz Mamat kelmarin juga sangat dikesali yang jelas sekali pentadbiran YT sangat mentah dalam memahami undang-undang dan peraturan negara kita.
Beliau berkata, Pemuda PAS bersama-sama pasukan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi DPPM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika JPM dan mana-mana pentadbiran kerajaan negeri seperti YT yang bertindak memberhentikan pemberian zakat dan pinjaman terhadap pelajar.
“Kami juga ingin tegaskan bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap mana-mana peraturan dan undang-undang Malaysia yang bersifat subjektif,” ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat.
Beliau menambah, rakyat Malaysia perlulah menghormati dan mematuhi undang-undang yang diguna pakai oleh kerajaan di mana mereka berada ketika di luar negara.
Pemuda PAS, katanya menyanjung tinggi rakyat Malaysia di luar negara yang bersama-sama Bersih 2.0 di Malaysia yang menzahirkan memberi sokongan dan tuntutan yang sama kepada Kerajaan Malaysia.
Tambahnya, tindakan profesional pihak berkuasa tempatan luar negara seperti di United Kingdom dan Australia juga patut dipuji yang mengeluarkan permit dan membantu menjaga keselamatan peserta yang menghadirinya.
Begitu juga, ujarnya pihak berkuasa di negara-negara lain seperti di Mesir, Taiwan, Jepun dan Indonesia serta 20 negara yang lain yang membenarkan rakyatnya berkumpul dan menzahirkan isi hati mereka.
Katanya lagi, tindakan profesional itu adalah manifestasi terhadap konsep demokrasi yang diamalkan dan yang didukungi oleh dunia dewasa ini.
Menurutnya, konsep Hak Asasi Manusia yang disepakati bersama perlulah didokongi bersama oleh terutamanya kerajaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan