Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 9 Julai 2011

KL MACAM MEDAN PERANG

Mula-mula Umno Barisan Nasional (UBN) berkata peniaga akan rugi dan jalan akan jadi jam dan sesak jika perhimpunan jalan diadakan di Kuala Lumpur.
“Kini polis menutup puluhan jalan, apakah ia tidak menyebabkan sesak?
“Apakah dengan tutup semua jalan, larangan masuk KL tidak merugikan peniaga?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Suasana gila yang diwujudkan sekarang akibat tindakan kerajaan dan juga pihak polis yang tidak konsisten dan membingungkan, kata Tuan Ibrahim menzahirkan betapa UBN jadi serba tak kena.
“Mula-mula dulu serang habis-habisan Bersih 2.0 dengan melemparkan pelbagai tuduhan liar sehingga tahap mereka dituduh pengkhianat, mengganggu, pemusnah negara dan lain-lain.
“Kemudiannya, selepas Agong bertitah, Perdana Menteri sendiri memberikan cadangan agar perhimpunan aman itu diadakan di stadium, pilih mana-mana stadium, bertempiklah sampai pagi pun kita tak halang.
“Sekarang apabila Bersih 2.0 memilih stadium, nada penipu mula zahir – Bersih 2.0 terus dituduh sebagai pertubuhan haram, tak ada permit, melanggar undang-undang lalu dikeluarkan satu perintah mahkamah senarai semua pimpinan yang dilarang memasuki Kuala Lumpur, dan mula menyekat kereta tertentu.
“Inilah tanda Umno Barisan Nasional semakin gila, gila yang tiada lagi ubat,” kata beliau dengan sinis.
Rakyat juga tertawa dengan gelagat UBN terhadap Bersih 2.0, yang disifatkan Tuan Ibrahim sebagai tanda jelas bahawa parti pemerintah tersebut berada dalam kini keadaan betul-betul panik bagaikan bakal dimusnahkan dengan pilihanraya yang bersih dan adil.
“Belum pernah dalam sejarah negara, ada rakyat sendiri tidak dibenar masuk dan bergerak bebas ke ibu kota dengan puluhan jalan ditutup, sekatan jalan raya di seluruh negara, stesen bas dipindah, permit bas dibeku, apa-apa yang kuning dilarang dan lebih kronik lagi semua polis, FRU dan tentera diarahkan untuk standby…’macamlah’ negara berada di ambang perang,” kata beliau.
Selain menutup puluhan jalanan, polis semalam turut mendapat perintah mahkamah untuk menghalang hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu untuk berada di ibu negara hari ini untuk perhimpunan aman di Stadium Negara.
Putrajaya juga bertindak untuk menutup Puduraya untuk sementara waktu mulai tengah malam semalam dan dipindahkan ke lokasi lain dipercayai untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen sementara kepada bas kilang dan sekolah ke Kuala Lumpur.
Justeru itu, bas-bas ke utara dan timur akan beroperasi di perhentian Jalan Duta manakala bas-bas ke selatan pula akan bergerak dari Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan.
Selain Hentian Puduraya, warga Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan bas di Hentian Jalan Duta, Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan Hentian Pekeliling.
Dengan ketakutan melampau yang ditunjukkan muktahir ini, Tuan Ibrahim berkata UBN kini boleh diibaratkan sebagai orang sakit tenat yang baru sahaja dimaklumkan oleh doktor yang hayatnya hanya ada beberapa bulan saja lagi.
 “Bayangkan 'pesakit' hanya menghitung saat dengan penuh ketakutan dan kengerian - itulah realiti kepada reaksi Umno Barisan Nasional terutamanya Umno hari ini,” selar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, sambil menyeru rakyat untuk ‘membungkus’ UBN yang gila ini pada Pilihanraya Umum ke 13 supaya ia tidak meracau lagi.

Tiada ulasan: