Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 31 Julai 2011

SAHUR DAN KEPENTINGAN

BERSAHUR adalah amalan penting pada Ramadan. Bagi mereka yang hanya mengkaji ilmu fekah akan berkata: "Oh, bersahur hukumnya adalah sunat saja." Andai kata hukum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari betapa pentingnya sahur ini walaupun hukumnya adalah sunat.Dari Anas RA, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).

Melalui hadis ini, amalan bersahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa makna rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud :

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السُّحُورِ
Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur
(Hadis riwayat An-Nasaie.)

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air. Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh.

Dari Anas bin Malik R.A bahawa Zaid bin Thabit pernah berkata: "Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh) dan kadarnya (di antara sahur dan solat subuh) adalah menyamai bacaan 50 atau 60 ayat al-Quran. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Zaid ditanya : "Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?" Berkata Zaid: "Sekadar membaca 50 ayat al-Quran." (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir.

Di sebalik begitu pentingnya sahur, janganlah pula lupa yang sangat wajib ditunaikan, yakni SOLAT SUBUH. :)

Tiada ulasan: