Assalamualaikum .. Salam Ramadhan Al-Mubarak
PAS menyokong tindakan Bersih 2.0 yang bercadang mengheret Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah kerana gagal menangani penyelewengan dan kecelaruan dalam daftar pemilih sebagaimana didedahkan media.Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli berkata, sebelum ini SPR menegaskan mereka tidak boleh mengubah daftar pemilih."Kita dimaklumkan sebelum ini oleh SPR, mereka tidak boleh ubah daftar pemilih, tetapi apabila terdedah nama, mudah pula mereka ubah," katanya.
Jelas Dr. Hatta, apa yang dilakukan oleh SPR itu menunjukkan tidak ada satu peraturan yang boleh menjaga ketulenan daftar pemilih yang sah sehingga boleh dipinda pada bila-bila masa.Tambahnya, tindakan SPR itu telah membuktikan badan itu gagal menjalankan tugas mereka walaupun selama ini kononnya diuar-uarkan melakukan pembersihan daftar pemilih setiap tahun."Bila SPR berbuat demikian maka munasabahlah Bersih 2.0 mahu mengheret badan itu ke mahkamah," katanya.
Justeru, Dr. Hatta percaya Pengerusi Bersih 2.0, Dato' Ambiga Sreenevasan yang juga seorang peguam tahu akan tindakannya dalam menuntut hak rakyat negara ini ke muka pengadilan.Sebelum ini, Ambiga percaya apa yang dilakukan SPR dengan sewenang-wenangnya memadam atau meminda butiran pengundi sebagai tindakan yang tidak sah."Saya tidak pasti mereka sebenarnya boleh melakukannya - hanya membuang nama dan meletakkan nama dan menukar beberapa perkara. Mereka akan dakwa bahawa mereka beroperasi di bawah peraturan-peraturan yang melayakkan mereka memperbetulkan kesilapan pengkeranian," katanya.
"Tetapi ini bukan kesilapan pengkeranian... jadi saya tidak pasti apa undang-undang yang mereka gunakan untuk melakukan pembersihan ini yang mereka kata mereka lakukan setiap hari."Ambiga merujuk tindakan SPR yang mengeluarkan nama-nama 'pengundi klon' daripada daftar pemilih setelah didedahkan.Pengundi klon merujuk kepada orang-orang yang mempunyai dua catatan dalam daftar pemilih, berdasarkan nama yang sama tetapi dengan nombor MyKad yang berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan