Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 16 Ogos 2011

ULASAN MUFTI PULAU PINANG BERKAITAN ISU BACAAN ALQURAN SEBELUM WAKTU SUBUH MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA

Assalamualaikum .. Salam Ramadhan Al-Mubarak

1. S.S Dato’ Seri Mufti melahirkan kekesalan di atas segala kenyataan yang tidak professional dan tidak berhemah daripada semua pihak termasuk menuduh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membuat keputusan secara melulu berkaitan isu tersebut.

2. Keputusan tersebut diputuskan adalah berdasarkan rasa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menyatakan kebenaran dan ia bersandarkan dalil yang sohih.

3. Islam mensyariatkan untuk tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan sebagainya. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain wajib dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

4. Walaupun bacaan Al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang sedang tidur atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

5. Rasulullah S.A.W melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang sedang berada di dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi atau tumpuan terhadap solat mereka, mana mungkin untuk menguatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang sedang berada di luar masjid.

6. Larangan ini adalah keputusan yang berlaku pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana hanyalah bagi mereka yang berada di dalam masjid sahaja, bagaimana jika Rasulullah dan para sahabat serta para ulamak dahulu melihat keadaan pembesar suara pada zaman kita ini, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

Tiada ulasan: