Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 10 Oktober 2011

PADAH KONTRAKTOR CAP AYAM

Kegembiraan penduduk di Jalan Ayer Keroh, Kampung Bukit Senggeh, dekat sini, untuk mendapat sebuah jambatan baru tidak bertahan lama selepas kerja pembinaan jambatan itu didakwa dijalankan hanya sehari sebelum ditinggalkan.Penduduk kampung, Jamaliah Yusof, 57, berkata, keluarganya berdepan kesukaran untuk keluar masuk dari rumahnya selepas jambatan lama yang terletak di hadapan rumahnya itu dirobohkan bagi projek berkenaan.

“Mulanya kami amat gembira melihat kontraktor sibuk memecahkan jambatan lama dan memunggah pembetung konkrit di kampung berkenaan bagi membina sebuah jambatan baru yang dijangka siap dalam tempoh enam minggu.“Namun, sebaik melihat aktiviti itu terhenti, kami mula dihimpit kebimbangan mengenangkan kesukaran yang terpaksa dihadapi untuk menghantar suami Mohd Isa Yusuf, 64, yang menghidang penyakit lemah jantung menjalani rawatan di ke Hospital Jasin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.Jamaliah berkata, jambatan itu adalah nadi penghubung utama untuk dia dan keluarganya berurusan dengan masyarakat luar.

“Memang ada jalan alternatif lain selain laluan itu, namun ia agak berbahaya kerana kami terpaksa meredah pokok getah dan rimbunan semak sebelum menemui jalan keluar.

“Apa yang membimbangkan kami adalah keadaan anak perempuan yang terpaksa keluar dari rumah seawal jam 6 pagi untuk bekerja di pusat bandar selain keadaan hujan lebat mengakibatkan kawasan pokok getah ini akan menjadi lecah dan berlumpur,” katanya.Sementara itu, Biramah Beekandaya, 73, berkata, dia dan cucunya berusia lima tahun terpaksa merangkak melalui laluan kecil yang dibuat penduduk setiap kali menghantar cucunya ke Tadika Kemas di kampung itu.

“Meskipun uzur, saya terpaksa melalui laluan sempit dan berbukit di tapak projek pembinaan jambatan baru itu walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko terjatuh.

“Kami sangat mengharapkan projek jambatan ini dapat diteruskan bagi membolehkan kami menjalankan rutin seharian dengan lebih baik tanpa perlu merasa bimbang dengan persekitaran sekarang,” katanya.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk R Perumal ketika ditemui berkata, pihaknya sudah bertemu dengan kontraktor yang dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang sudah memberi jaminan akan memulakan kerja pembinaan.

“Saya difahamkan pada masa ini, kontraktor sedang berusaha mengumpulkan barangan keperluan projek dan peralatan mesin yang diperlukan bagi menyiapkan jambatan baru itu secepat mungkin.
“Jika semuanya berjalan lancar termasuk kelengkapan mesin sudah ditempatkan di tapak projek, kerja-kerja menyiapkan jambatan baru ini sudah boleh dimulakan pada Isnin ini,’’ katanya ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan jambatan berkenaan di Kampung Bukit Senggeh, di sini.

Tiada ulasan: