1. Di dalam era 'Rakyat di Dahulukan Pencapaian di Utamakan' ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan Kerajaan Umno/Bn yang lepas tangan dalam menjamin kesihatan rakyat. Sila lihat laporan akhbar The Star 7 Disember 2011 yang menyebut terdapat beberapa hospital di Malaysia yang tidak cukup ubat seperti yang berlaku di Hospital Melaka. Hal yang sedemikian tidak sepatutnya berlaku jika sekiranya Kerajaan Umno /Bn berusaha bersungguh-sungguh menjamin kesihatan rakyat jelata. Usaha Malaysia mengejar taraf negara maju pun akan terbantut kerana kesihatan rakyat telah diambil ringan oleh kerajaan Umno/ Bn. Kerajaan sepatutnya menjadikan kebajikan rakyat dari sudut kesihatan sebagai agenda penting dan bukannya diambil mudah cara pengurusannya.
2. Punca utama perkara ini berlaku perlu disiasat dan kerajaan perlu menjawab dengan segera. Apa yang difahamkan bahawa dalam bajet negara peruntukan untuk kesihatan hanyalah 4.6% dari jumlah GDP (Gross Domestic Product). Sedangkan saranan WHO dan purata negara-negara di dunia adalah sebanyak 8.0%. Perkara ini mungkin tidak membawa kepada masalah sekiranya dana awam dikendalikan secara efisien dan bertanggungjawab. Malangnya berita-berita penyalahgunaan dana awam dan kecuaian dalam mentadbirnya sentiasa dibangkitkan dari semasa ke semasa, termasuk isu lembu NFC yang mendapat pinjaman mudah kerajaan, projek jejantas pejalan kaki di Kuala Lumpur dan sebagainya.
3. Siapakah yang terjejas di dalam hal ini? Adakah menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan? Pastinya tidak! Yang terjejas adalah rakyat yang miskin dan sederhana yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan awam. Mereka tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital swasta. Akhirnya rakyat yang menderita.
4. Perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Ia bukan suatu perkara yang boleh dilayan seperti gula-gula politik dan hanya dijadikan sebagai perhiasan dan digembar-gemburkan menjelang pilihanraya. Sebagai contoh, projek pembinaan Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Majlis perletakan batu asas pada 7 Mac 2008 telah diwar-warkan di dalam akhbar tempatan. Tapi sehingga kini, projek hospital yang sepatutnya menjadi satu lagi hospital tempat rakyat mendapatkan khidmat kesihatan hanya tinggal batu asas. Begitu juga dengan perancangan pembinaan beberapa klinik kesihatan, masih tidak diluluskan oleh Kerajaan Umno/Bn. Sedangkan pengambilan tanah, pampasan tanah dan pelan pembinaan telah siap dikemukakan kepada menteri. Adakah berlaku ketirisan peruntukan keewangan kesihatan kepada pihak-pihak tertentu?
5. Ubat adalah paling sinonim dengan hospital. Perawatan dihospital biasanya akan berakhir dengan pemberian ubat. Penyakit kronik sebagai contohnya memerlukan ubat-ubatan yang berterusan tanpa ingkar. Pembekalan ubat yang terbantut akibat kekurangan ini akan meningkatkan lagi morbiditi dan mortaliti rakyat Negara kita yang tercinta ini. Kerajaan Umno/bn jangan sesekali mempertaruhkan nyawa rakyat demi mempertahankan hayat kerajaan yang sudah sampai ke penghujung waktu ini. Wahai rakyat sekalian, lakukan perubahan dalam PRU13 nanti kepada Pakatan Rakyat, yang mementingkan kebajikan kepada kita semua.
DR GHAZALI BIN HASBULLAH
PENGERUSI LAJNAH PEKERJA DAN PROFESSIONAL MUDA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Sabtu, 10 Disember 2011
HOSPITAL KERAJAAN TIDAK CUKUP UBAT: KERAJAAN TIDAK WAJAR LEPAS TANGAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan