Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 12 Januari 2012

Penggunaan Dakwat Kekal Dibenar Syarak

Penggunaan dakwat kekal mengandungi 'silver nitrate' pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah dibenarkan syarak, kata Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Beliau berkata, penggunaan dakwat kekal itu tidak menimbulkan masalah kepada pengguna beragama Islam kerana tidak mengandungi unsur najis haram, tidak memudaratkan kesihatan serta telap (serap) air. Katanya, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan meneliti dan menilai hasil kajian daripada Jabatan Kimia mengenai kandungan dalam dakwat kekal itu. "Penggunaan dakwat kekal ini tidak menghalang air untuk sampai ke kulit. Justeru, ia tidak bertentangan dengan syarak kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada umat Islam mengerjakan ibadat termasuk berwuduk.

"Bagi pihak kami, datang daripada mana dakwat itu tak penting, tetapi ia mesti tidak meragukan serta mempunyai tiga elemen berkenaan," katanya pada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa terbabit mengenai dakwat kekal, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha merangkap Setiausaha Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan. Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Jabatan Kimia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sebelum ini, SPR mengumumkan akan menggunakan dakwat kekal mengandungi 'silver nitrate' pada PRU-13 yang dikenal pasti mampu kekal antara tiga hingga tujuh hari selepas dicalit pada kuku atau kulit. Dalam tempoh itu, dakwat itu tidak luntur dan hilang kerana bahan berkenaan terus menyerap ke dalam kulit serta kuku sebaik dicalit, kecuali dikikis atau kuku dicabut. Ia berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan ketika PRU-12 pada 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah berkenaan dipersoalkan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Abdul Shukor berkata, keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang diberikan kepada jawatankuasa itu dan yang melepasi ujian saja.

"Sekiranya SPR ingin menukar kepada dakwat kekal jenis lain, pengujian dakwat kekal itu perlu dilakukan sekali lagi sebelum memutuskan sama ada boleh digunakan atau sebaliknya."Tetapi saya dimaklumkan dakwat kekal itu akan digunakan pada PRU-13 akan datang" katanya.

Tiada ulasan: