Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui kerajaan BN ada membuat sedikit kesilapan pada masa dulu hingga menyebabkan rakyat tidak lagi menyokong mereka.
Namun katanya, BN kini sudah insaf daripada kesilapan sebelum ini dan juga memohon maaf kepada rakyat di Selangor.
"Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.
"Dan kita berikrar daripada kesilapan itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada masa depan yang lebih baik lagi," katanya dipetik Bernamapada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Selangor di Pelabuhan Kelang, hari ini.
Sehubungan itu, Najib juga dipetik Bernama sebagai berkata Pakatan Rakyat tidak perlu diberi "tempoh lanjutan" untuk terus memerintah Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat dengan pelbagai masalah.
Dakwanya, Selangor selama ini maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini, dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh BN itu.
"Sudah cukup empat tahun Selangor di bawah pakatan pembangkang, jangan kita bagi tempoh lanjutan sebab kalau bagi tempoh lanjutan nanti susah nak dapat balik. Inilah peluang terbaik untuk mengembalikan bumi Selangor kepada BN," katanya.
Bernama bagaimanapun tidak melaporkan sama ada Najib ada menyatakan kesilapan-kesilapan BN itu dan di bawah Menteri Besar manakah perkara itu berlaku.
Pada ucapan selama setengah jam itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.
Sambil memanggil hadirin yang hadir sebagai 'bala tentera BN Selangor', Najib berkata BN boleh merampas kembali Selangor jika bilangan bala tentera itu lebih ramai, lebih berani, pintar dan nekad serta sanggup bekerja lebih keras daripada pihak lain.
"Semangat dah ada, matlamat sudah dapat dilihat, perancangan sudah ada... semuanya sudah lengkap... ayuh kita turun berjuang habis-habisan," kata Najib.
Menurut beliau, anggota BN perlu akur dengan pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon dan memberi sokongan penuh kepada mereka yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya nanti.
"Jangan sabotaj parti kita sendiri sebab jika kita sabotaj parti, ibarat kita menjaringkan gol sendiri dan bila jaring gol sendiri kita akan kalah dan seterusnya kita akan merana," tegas Perdana Menteri,” katanya.
Najib juga mengingatkan calon-calon BN supaya menjaga kepentingan semua kaum dan bukan hanya kaum tertentu kerana ini menjadi asas dalam memastikan kemenangan BN.
Katanya semangat BN menjadi pudar kerana terkena tsunami politik pada pilihan raya umum lalu.
"Tetapi dalam tempoh empat tahun kita telah bina semula jentera BN di Selangor sedikit demi sedikit, semangat kita yang pudar itu, moral kita yang luntur itu hari ini telah bertukar wajah," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan