Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, muslihat penutupan Dataran Merdeka bertujuan mengalih kemarahan orang ramai terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah esok.
“Sedangkan arahan itu datang dari (Datuk Seri) Najib (Razak) sendiri. Taktik sebegini sudah diketahui rakyat,” kata Tian merujuk tindakan DBKL menutup Dataran Merdeka dengan penghalang trafik, awal pagi tadi.
Beliau yang menyambut ketibaan rombongan kira-kira 100 penyokong Bersih 3.0 dari Kelantan malam tadi memberitahu, sehingga kini sikap polis agak lunak berbanding Bersih 2.0 tahun lalu.
Justeru, reaksi itu dianggap langkah menyelamatkan Perdana Menteri dan sepupunya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dari sebarang kritikan seolah-olah polis ‘tidak terlalu campur tangan’.
“Berbanding Himpunan Bersih 2.0, langkah pencegahan dilakukan keras, termasuk tangkapan, penyenaraihitaman nama, sekatan jalan dari luar Kuala Lumpur dan halangan mobilisasi.
“Untuk Bersih 3.0, setakat ini belum berlaku, namun halangan muncul dari DBKL pula,” jelasnya sambil menambah Najib tidak ikhlas dengan memperkuda agensi kerajaan untuk menghalang Himpunan Bersih 3.0.
“Tindakan turut ditujukan kepada mahasiswa melalui undang-undang universiti,” katanya, merujuk kes dakwaan dikenakan terhadap tiga mahasiswa Universiti Malaysia.
Ahli Parlimen Batu itu turut memperingatkan peserta berdisiplin dan mematuhi arahan pemimpin dan Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0.
“Saya yakin tidak ada apa-apa yang kasar berlaku. Semua orang nampaknya tenang. Kita jumpa di Dataran Merdeka esok,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan