Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 27 April 2012

Bersih 3.0 Takkan Langgar Peraturan polis, DBKL

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan meneruskan perhimpunan Bersih 3.0 esok tanpa melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak polis. Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata demikian sebagai respons kepada perintah menghalang penganjur Bersih 3.0 dan orang awam daripada berhimpun dan memasuki Dataran Merdeka esok yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

 Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah itu jam 8.30 malam tadi. Perintah larangan dikeluarkan secara ex-parte terhadap Bersih 2.0 dan diterima Ambiga kira-kira jam 12 tengahari tadi. "Tidak ada apa-apa perubahan daripada pihak Bersih 2.0. Perintah larangan hanya untuk kita memasuki Dataran Merdeka tapi tidak di tempat lain. "Oleh itu kita masih boleh meneruskan Duduk Bantah di tempat lain tanpa melanggar undang-undang," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi.

Ambiga juga berkata, mereka akan cuba berada sehampir mungkin dengan Dataran Merdeka walaupun tidak dapat memasuki kawasan itu. Jelasnya, enam-enam lokasi awal ditentukan ialah Pasar Seni, Masjid Negara, KLCC, Brickfields, Jalan Sultan dan Masjid India sebelum peserta menghampiri Dataran Merdeka. "Kita akan Duduk Bantah tepat jam dua petang dan akan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. "Kita akan cuba berada paling hampir dengan Dataran Merdeka dan peserta boleh mula berkumpul di enam lokasi tersebut," katanya. Ambiga juga yakin perintah larangan tersebut hanya akan membuatkan bilangan peserta Bersih 3.0 semakin bertambah.

 "Saya tetap yakin dapat mengumpulkan 100,000 orang esok," katanya penuh semangat. Beliau juga menegaskan, Bersih 3.0 merupakan perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil. Oleh itu, Bersih 2.0 tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang cuba melakukan provokasi dan huru-hara. "Kita tegaskan Bersih 3.0 adalah perhimpunan yang aman jadi kita tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang cuba menimbulkan kekecohan. "Pihak Bersih sendiri menyediakan pasukan keselamatan dan pasukan perubatan sendiri, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan. "Kita akan berjumpa esok di Duduk Bantah," katanya disambut tepukan gemuruh.

Tiada ulasan: