Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan dikosongkan berikutan pengunduran Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkuat kuasa Isnin ini.Najib mengumumkan perkara itu pada satu majlis di sini hari ini.
Tempoh perkhidmatan Shahrizat sebagai anggota Dewan Negara berakhir esok.
Mengumumkan perkara berkenaan pada majlis Pelancaran Program Karisma 1Azam peringkat negeri Pahang anjuran kementerian berkenaan yang turut dihadiri Shahrizat, Perdana Menteri juga memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada sumbangan Shahrizat sepanjang beliau menjawat jawatan berkenaan.
"Program ini merupakan program penutup kepada Shahrizat, bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas sumbangan yang diberikan," katanya pada majlis yang dihadiri lebih 20,000 orang di Dataran Tok Gajah, di sini, petang ini.
Bulan lalu, Shahrizat sebelum ini mengumumkan pengundurannya sebagai menteri apabila tamat tempoh sebagai senator pada 8 April ini berikutan isu National Feedlot Corporation (NFCorp).
Berdasarkan laporan Bernama, Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan beliau akan memangku jawatan berkenaan sehingga pada satu tarikh tertentu. Bagaimanapun, Shahrizat masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.
Najib berkata, Shahrizat juga telah berjanji kepadanya untuk terus memberikan khidmat terbaik sebagai Ketua Wanita Umno.
"Shahrizat dah janji pada saya, sebagai Ketua Wanita Umno untuk menjamin kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.
Ketika berucap pada majlis berkenaan juga, Najib turut meminta semua pimpinan parti dan kerajaan supaya terus menyelami hati dan nurani rakyat.
"Saya berani katakan rakyat semakin memihak pada kita, semakin menaruh rasa sayang, Shahrizat (menerusi program kementerian itu sebelum ini) tekankan perkataan sayang, kalau rakyat sokong, ianya (sokongan itu) adalah dalam minda mereka, tetapi bila rakyat sayang, ianya (sayang itu) letak di hati, bila turun ke hati, pilihannya tentulah hanyalah satu (kepada Barisan Nasional),"
katanya.
Najib berkata, rakyat akan dapat menilai apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam usaha menambahbaik kehidupan mereka menerusi pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan.
Katanya, rakyat juga boleh menilai janji-janji yang ditunaikan kerajaan Barisan Nasional berbanding kerajaan pimpinan parti pembangkang yang ternyata gagal melaksanakan sebarang janji yang mereka buat pada pilihan raya sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan