AS menyokong penuh keputusan Ikhwan Muslimin meletakkan calonnya, Khayrat Syatir (gambar) bagi menghadapi pilihan raya Presiden Mesir, Mei ini.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Nawawi, berkata calon tersebut sememangnya layak diketengahkan Ikhwan Muslimin.
Menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah yang bijak, Syed Azman menegaskan ia bukan sahaja bertujuan untuk mengambil alih kuasa, sebaliknya bagi menyelamatkan revolusi rakyat yang menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak, sebelum ini.
"Walaupun pada awalnya Ikhwan Muslimin tidak berhasrat meletakkan calonnya, oleh kerana perkembangan yang sedang berlaku di Mesir, Ikhwan Muslimin tiada pilihan bagi selamatkan revolusi rakyat Mesir," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, dengan adanya ancaman daripada kelompok tertentu, termasuk pengaruh asing yang dilihat cuba mengambil peluang untuk melakukan kekacauan, maka keputusan itu merupakan satu keputusan tepat.
"Yang penting, keputusan ini merupakan satu langkah penting bagi menyelamatkan masa depan Mesir yang masih 'terkepung' dengan tali barut, dan saki-baki para penyokong Hosni Mubarak yang cuba melakukan kekacauan pentadbiran Ikhwan Muslimin sejak revolusi rakyat, tahun lalu," tegas beliau lagi.
Walaupun Ikhwan menang dalam pilihan raya Parlimen, baru-baru ini, suasana Mesir selepas jatuhnya Hosni dan menuju kearah proses demokrasi, tidak menampakkan kelajuan yang diharapkan.
Kerajaan Peralihan pimpinan Dr Ganzuri sering menghadapi gangguan dari Majlis Tertinggi Tentera yang masih mencengkam, maka Ikhwan Muslimin dan Parlimen Mesir yang baru dipilih melihat bahawa Mesir tidak akan selamat.
Susulan keputusan meletakkan Khayrat sebagai calon presiden, Syed Azman berkata PAS mengalu-alukan calon tersebut selain mendoakan kemenangan ke atas Khayrat dan Ikhwan Muslimin pada pilihan raya Presiden yang akan diadakan 23 Mei ini.
Khayrat yang merupakan seorang jutawan memainkan pernan penting dalam menyelia pergerakan itu ketika peringkat peralihan selepas Hosni digulingkan.
Jika Khayrat yang pernah dipenjara sebelum Revolusi 25 Januari 2011 itu menang dalam pilihan raya tersebut, Ikhwan Muslimin akan mendominasi arena politik Mesir dan menuju ke arah perubhan yang diharapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan