Oleh Aspan Alias
Hari ini hari yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat yang dahagakan keadilan dan kesaksamaan bersiasah. Rakyat sudah tidak lagi menerima cara suruhanjaya pilihanraya mengendalikan pilihanraya dinegara ini. Ratusan ribu rakyat membanjiri ibu kota untuk menunjukkan bantahan terhadap SPR yang tidak telus dan suruhanjaya yang telah dicemari dengan politik UMNO dan BN.
Ketua kepada suruhanjaya pilihanraya rupa-rupanya adalah ahli UMNO dan beliau tidak layak untuk mengendalikan pilihanraya dengan adil dan saksama.Semuanya ini menyakitkan hati rakyat yang bakal mengundi dan memberikan mandat kepada siapa yang mereka yakini. Sambutan awal menunjukkan yang sambutan terhadap Bersih 3.0 ini adalah menyeluruh di negara ini dan di negara-negara lain di mana rakyat Malaysia tinggal. Laporan awal dari Melbourne, Australia menunjukkan sambutan yang di luar dugaan kerana adalah dijangkakan yang seramai 5,000 rakyat Malaysia akan berhimpun untuk menyokong desakan supaya SPR telus dan jujur dalam pengendalian pilihanraya yang akan datang. Ianya akan diadakan di Federal Square yang berhadapan dengan Flinders Station di kotaraya itu serentak dengan himpunan di Kuala Lumpur.
Saya juga mendapat panggilan daripada rakan kenalan yang berada di kotaraya-kotaraya lain seperti di Perth, London, dan lain-lain, yang menyatakan sokongan terhadap tindakan Bersih 3.0 ini dan akan mengadakan perhimpunan yang sama di sana. Nampaknya kali ini sambutan rakyat di seluruh dunia begitu kuat dan ini akan menentukan hala tuju dan keadaan politik negara kita tidak lama lagi.
Sekarang Pengerusi SPR telah ternyata seorang ahli UMNO, maka tuduhan pihak pembangkang yang SPR dipenuhi dengan ahli-ahli UMNO akan terbukti benar. Kalau begitu keadaannya maka SPR memang sepatutnya tidak lagi boleh diyakini rakyat. Maka ternyata jugalah yang satu lagi institusi demokrasi telah tercemar selepas banyak lagi institusi demokrasi dilacuri bermula daripada zaman pentadbiran Dr Mahathir dahulu.
Justeru, PRU tidak boleh diadakan selagi seluruh pengurusan SPR dan kakitangannya dikeluarkan daripada institusi itu. Selagi mereka berada di dalamnya, selagi itulah perjalanan PRU tidak akan berjalan dengan adil dan saksama. Bacul sungguh pimpinan negara kita ini. Tidak ada kerja lain selain daripada menipu dan membohongi rakyat.
Kita sudah terlalu jauh ditipu dan dikelirukan oleh pimpinan UMNO dan BN ini. Saya kira selepas Bersih 3.0 ini, rakyat akan terus bangkit menentang kezaliman yang sudah menjadi permainan pihak yang memerintah hari ini.
Bagi saya pemimpin-pemimpin kita sekarang ini telah keterlaluan menjolok mata kita semua. Kita patut desak semua pimpinan pada hari ini meletakkan jawatan dan ini adalah satu-satunya cara untuk membetulkan keadaan dan kecelaruan yang kita hadapi hari ini.
Najib dan keseluruhan pimpinan wajar meletakkan jawatan. Serahkan negara kita kepada ‘care-taker governmant’ dan perbetulkan segala-gala yang tidak betul dalam kerajaan kita hari ini sebelum kita memanggil pilihanraya umum ke-13 ini.
Selepas ini elok diadakan pula himpunan Bersih 4.0 dan semua rakyat di bandar dan di desa-desa, yang tua dan yang muda, daripada berbagai-bagai bangsa dan agama, menuntut kerajaan hari ini meletakkan jawatan. Lepas satu masalah, timbul lagi satu masalah yang dilakukan oleh pihak pemerintah untuk mengongkong pemikiran rakyat.
Pengongkongan pemikiran rakyat ini amat merbahaya kepada perkembangan dan kemajuan rakyat kerana kita khuatir jika rakyat akan percaya yang cara pengendalian oleh BN merupakan cara untuk menjaga negara yang betul. Ini amat bertentangan dengan kehendak asas pembangunan pemikiran rakyat yang ingin maju untuk menghadapi tuntutan kemajuan global.
Rakyat sekarang sudah mempunyai asas kukuh untuk menuntut keseluruhan kepimpinan negara untuk meletakkan jawatan. Selesaikan dahulu isu SPR kerana SPR tidak boleh diyakini lagi untuk menjadi pengendali kepada pilihanraya yang adil kepada semua pihak.
Kita terpaksa memulakan keadaan baru dalam politik negara. Biarkan pihak yang lain yang lebih terbuka dan demokratik untuk menyusun dan merancang sistem yang kukuh untuk memastikan keamanan negara serta keharmonian rakyat dapat dicapai sehingga ke tahap yang tertinggi.
Berikan tanggungjawab kepada sesiapa yang mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk berunding dengan semua kaum dan agama seperti yang dilakukan oleh YTM Tunku Abdul Rahman dahulu dengan memanggil ketua-ketua pimpinan semua kaum dan duduk ke meja rundingan. Ia mendapatkan membentuk sebuah negara yang mempunyai nafas politik yang baru yang akhirnya terbentuk sebuah negara yang mana rakyatnya bersatu-padu dan menikmati kekayaan negara secara 'equitable' buat jangka masa yang panjang.
Kalau dahulu kita boleh memulakan negara bernafas baru kerana perundingan yang jujur di antara kaum, mengapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi. Itulah sebabnya untuk melakukannya, keseluruhan kepimpinan kerajaan pada hari ini perlu meletakkan jawatan dan mulakan perundingan itu dalam jangkamasa yang terdekat ini.
Kalau dahulu kita boleh memulakan negara bernafas baru kerana perundingan yang jujur di antara kaum, mengapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi. Itulah sebabnya untuk melakukannya, keseluruhan kepimpinan kerajaan pada hari ini perlu meletakkan jawatan dan mulakan perundingan itu dalam jangkamasa yang terdekat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan