Kumpulan Kartunis Independen (KKI) menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan kartun dalam kempen Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 sebagai 'melucukan'.
Ketuanya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, yang patut diberi perhatian oleh SPR bukan medium, tetapi kandungan atau mesej yang digunakan oleh parti-parti politik dan penyokong yang berkempen.
Mesej yang tidak bertanggungjawab serta bersifat serangan peribadi dalam apa jua medium ujarnya perlu diambil tindakan.
"Kartun adalah salah satu medium bagi parti-parti politik untuk menyampaikan mesej dalam Pilihanraya dan ia adalah medium yang halal dipraktiskan secara undang-undang di Malaysia dan kerana itu SPR tak berhak melarangnya.
"Mengharamkan penggunaan kartun ketika kempen pilihanraya adalah satu peraturan yang bukan saja salah di sisi undang-undang, tetapi paling melucukan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar seperti dilaporkan media yang menyatakan bahawa badan itu melarang penggunaan kartun dalam kempen Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.
Menurut Zunar, SPR seharusnya menggunakan tenaga dan usaha untuk memenuhi lapan tuntutan Bersih daripada berbicara soal kartun dan karikatur.
Beliau memberitahu, biarpun berdepan larangan itu, KKI yang diketuainya akan terlibat aktif sebelum dan ketika kempen PRU akan datang.
"Kami akan membuka bilik gerakan kartunis sendiri dan akan bergerak secara berkumpulan dengan menggunakan van dan berkempen ketika kempen PRU.
"Fokus kami ialah mendedahkan penyelewengan dan korupsi oleh pemerintah sekarang. Ini termasuk isu Skandal Scrpene, NFC, isteri Perdana Menteri, dan lain-lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan