Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 14 Mei 2012

Pendidikan Percuma Yang UMNO Cukup Takut Laksana

Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji  kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

 
 

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspeksina'ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya  tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

 
 

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman  dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara  membantu kalangan yang tidak berkemampuan.Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:

إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له

Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya,  ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya(Riwayat Muslim)

 
 

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat  mendatangkan hasil  yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain  bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

 
 

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat  sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai  yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan  institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

 
 

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS

Tiada ulasan: