Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 9 Mei 2012

Tun Hanif Tak Layak Ketuai Penal Siasat Bersih

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pelantikan Tun Haniff Omar sebagai ketua panel siasatan bebas menangani perhimpunan Bersih 3.0 adalah tidak sesuai sama sekali. Katanya, ini disebabkan latar belakang Haniff sendiri sebagai bekas Ketua Polis Negara sedangkan penyiasatan menjurus kepada dakwaan insiden kekasaran oleh pihak polis ketika perhimpunan aman tersebut pada 28 April lalu. “Lagipun beliau sendiri sudah membuat kenyataan bias sebelum ini mengatakan perhimpunan Bersih mahu menggulingkan kerajaan dan disertai komunis 1970-an. 

 “Jadi dengan kenyataan kontroversi yang sejak awal-awal lagi, mana mungkin mampu mendapatkan penyiasatan yang adil, telus dan berwibawa,” tegasnya. Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini pelantikan enam ahli panel penasihat bebas yang diketuai Hanif untuk menyiasat dan melaporkan kejadian sebenar ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Ahli-ahli lain ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Ruszmi Ismail. 

 Kerajaan dipercayai terpaksa melantik panel tersebut dipercayai berikutan menerima tekanan pelbagai pihak yang menyaksikan keganasan polis menangani lebih 200,000 rakyat yang berhimpun menuntut keadilan. Namun demikian, perhimpunan menuntut 8 pembaikan dalam pilihan raya itu cuba dipusingkan dengan mengaitkannya sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan. Tuan Ibrahim berkata, seelok-eloknya dilantik bekas hakim atau bekas Peguam Negara atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sendiri sudah memadai dengan ditambah kuasa penyiasatan. 

 “Jadi dengan pelantikan tersebut saya percaya masyarakat masih belum melihat ada panel yang betul-betul bebas bagi menyiasat keganasan polis pada hari tersebut terhadap rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil,” jelasnya. Beliau mengingatkan, ketika peristiwa mata lebam Anwar Ibrahim dulu juga dilantik panel penyiasat di kalangan polis untuk menyiasat polis tetapi tidak ditemui. Tetapi selepas dilantik Suruhanjaya Diraja barulah ditemui yang membelasah Anwar ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor. Mengenai durian runtuh yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 8 semalam, Tuan Ibrahim berkata jumlah yang ‘runtuh’ itu, iaitu RM5,000 diberi tunai dan RM10,000 dalam dua fasa lain tidaklah sehebat pada sangkaan awal.

 “Pada mulanya kita ingatkan peneroka betul-betul akan tersandar dan tertiarap kerana terkejut dengan pengumuman macam dari langit itu. Kalau setakat RM5,000 itu, sekali peneroka jual hasil sawit pun dapat banyak tu. “Lagipun wang peneroka sudah banyak yang tersangkut pada Felda antaranya penipuan kadar perahan gred (KPG), wang tabung tanam semula (TTS) yang belum dikembalikan, ses, isi rong dan banyak lagi. “Di sini juga PAS mahu kerajaan dan Felda turut mempertimbangkan agar bonus dua bulan setengah gaji yang diperolehi oleh kakitangan Felda seperti diumumkan, supaya turut diberi kepada bekas kakitangan yang kini berpencen kerana mereka juga telah berjasa besar,” katanya.

 Tuan Ibrahim mengingatkan, jika tidak dengan tawaran Pakatan Rakyat dan perjuangan Persatuan Anak-Anak Peneroka (Anak) yang begitu gigih memperjuangkan nasib peneroka tidak mungkin Najib mengumumkan durian runtuh itu. Beliau juga mengingatkan masih banyak janji kerajaan di kalangan peneroka masih belum tertunai antaranya pembesaran jalan raya Kampung Awah ke Jengka dan menaik taraf loji air ketika janji semasa pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dulu.

Tiada ulasan: