Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 26 Jun 2012

Jika Terhina , Kami Yang Pertama Bersuara - DHPP



Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mempertahankan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bahawa beliau tidak berniat menghina agama Hindu dan penganutnya dan jika dia menghina Hindu, pihaknya yang pertama membuat bantahan. Timbalan Pengerusi DHPP N. Balasubramaniam berkata, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu langsung tidak membawa apa-apa masalah di kalangan kaum India yang majoriti penganut agama Hindu.

 "Orang India masih aman di Malaysia, dalam isu ini tidak ada bawa apa-apa masalah," katanya dalam sidang media. Sebelum ini, Ketua Pemuda MIC T Mohan meminta Salahuddin mohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan. Menurut Bala, kenyataan Salahuddin dalam Debat Sinar Harian pada 19 Jun lalu sengaja diputar belitkan oleh MIC untuk menimbulkan persepsi negatif kepada kaum India.

 "Jika benar ada penghinaan kepada penganut Hindu kami sendiri pun boleh tegur. Nampaknya MIC sengaja cari pasal. Kenyataan Salahuddin cukup jelas," katanya. Bala turut percaya Salahuddin tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina kaum dan agama lain kerana agama Islam tidak mengajar untuk berbuat begitu. Ahli Parlimen Batu Kawan P. Ramasamy juga menyifatkan MIC ketandusan modal politik sebab itu mereka sengaja putar belit kenyataan. "Saya ada baca dalam akhbar Tamil tuduhan terhadap Salahuddin, tidak ada bukti beliau hina kaum India," katanya dalam sidang media yang sama. P. Ramasamy turut mempertikaikan di mana kelantangan MIC apabila Umno pernah menimbulkan isu bebaur perkauman dan memperlekehkan kaum India. 

 "Umno pernah guna isu paria. MIC mendiamkan diri. Tapi berbeza dengan Salahuddin yang jelas tidak hina agama kami," katanya. Begitu juga ketika penyokong Umno mengarakkan kepala lembu ke bangunan SUK Selangor yang memang jelas cuba menghina orang Hindu (gambar). Salahuddin mengulangi penegasanya beliau tidak berniat untuk menghina penganut agama Hindu dan mereka perlu dengar serta faham konteks ayat yang diperdebatkan dalam debat itu.

Tiada ulasan: