Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, apa yang pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba kepada Umno kini menjadi kenyataan.
Menurutnya, Tun Ghafar selepas bersara sering berkata bahawa 'Umno nampak saja besar macam gajah tapi kakinya lembik macam plastik' dan kini benar-benar terjadi apabila parti itu rosak akibat perbuatan pemimpin mereka sendiri.
"Kini apa yang dikatakan oleh Tun Ghafar Baba sudah jadi kenyataan.
Umno nampak gah kerana adanya media dan wang ringgit tetapi pada hakikatnya parti itu menuju keruntuhan akibat perbuatan kepimpinan mereka sendiri, " terangnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Padang Awam, Kampung Jarak Atas semalam.
Menurut Mohamad, beliau masih ingat lagi perkataan tersebut, disebut berulang kali oleh Tun Ghafar semasa beliau dan Ahli Jawatankuasa PAS ketika itu, Haji Subky Latif menziarahinya yang terlantar sakit.
Kejatuhan Umno juga jelas Mohamad bakal disumbang oleh sikap pemimpin generasi baru parti itu yang dilihat sudah terpesong matlamat perjuangan mereka berbanding generasi terdahulu.
Sebab itu katanya, ramai dikalangan vateran Umno kini sudah sedar dan keluar dari Umno kerana kecewa dengan sikap pemimpin yang baru yang lebih mementingkan kedudukan berbanding kebajikan rakyat.
"Ramai dalam Umno sudah terpesong perjuangan bukan seperti orang veteran.
"Ramai yang tidak tahu perit getir perjuangan yang diterokai, tahu-tahu sudah pegang jawatan yang di dalamnya kantong besar. Apa lagi berebutlah mereka mendapatkanya, " katanya.
Namun, beliau tetap memberi peringatan kepada selruh jentera Pakatan Rakyat agar tidak mengambil sikap selesa walaupun Umno diibarat gajah berkaki plastik.
"Macam Tun Ghafar kata, istilah gajah yang ditujukan kepada Umno nyata besar tapi ingat kaki dia plastik.
"Jadi kita kena ambil api dan layangkan kepada kaki plastik tersebut tentu jadi lembut dan akhirnya gajah yang besar rebah ke bumi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan