Salmiyah Harun
Pihak polis mengakui Himpunan Oren Selamatkan Felda yang dianjurkan oleh Gerakan Selamatkan Felda (GSF) hari ini berlangsung dalam suasana aman. Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Superitendan Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, pihak polis akan memastikan hajat dan matlamat mana-mana pihak ditunaikan kerana itu adalah hak mereka.Ketika ditanya mengapa anggota FRU tidak ditugaskan mengawal dalam Himpunan Oren hari ini, beliau berkata keadaan tidak memaksa mereka berbuat demikian."Kita buat penilaian sendiri, kalau keadaan tidak mamaksa...dan sebagainya, kita bukan suka mencari...cuma jangan mencetuskan perkara yang melanggar undang-undang," katanya ketika ditemui media di hadapan Pintu 3 Istana Negara sebaik sahaja rombongan GSF beredar selepas mengadap Agong.
Bagaimanapun, Wan Abdul Bari enggan memberitahu jumlah anggota keselamatan yang bertugas dalam himpunan ini walaupun berkali-kali ditanya pihak wartawan."Tak pelah itu soal keselamatan, anggota hari ini mencukupi untuk menghadapi apa-apa kemungkinan tidak perlu saya bagitahu jumlah anggota polis yang bertugas hari ini," katanya. Beliau turut menjelaskan dua orang wakil dari GSF yang tidak dibenarkan masuk ke istana kerana nama mereka tidak ada di dalam senarai asal yang difakskan ke pihak istana sebelum ini."Nama-nama yang terdapat dalam faks dihantar pada Istana kita benarkan, setelah kita sahkan nama betul mereka kita benarkan mereka masuk. Yang mana saya boleh sahkan, pihak istana bersedia terima memorandum GSF," katanya.Justeru katanya, keadaan di hadapan istana dalam keadaan yang baik dan tidak ada perkara yang tidak diingini dan memudaratkan berlaku.Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Peguam Mohd Harris Abdullah yang menggantikan tempat Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid dan Wakil NGO Raja Abd Rahman, tidak dibenarkan masuk ke istana kerana pertukaran itu dimaklumkan pada saat-saat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan