KAHERAH - Pemimpin Islamis Gaza, Ismail Haniyeh, bertemu Presiden Mesir, Mohamed Mursi, kelmarin dalam kunjungan rasmi yang mengisyaratkan perubahan besar dalam pendirian Kahirah terhadap pergerakan Hamas, setelah seorang bekas anggota kumpulan Persaudaraan Islam (Ikhwanul Muslim) dipilih sebagai ketua negara Mesir.
Dua pemimpin itu berbuka bersama selepas Imail Haniyeh bertemu ketua perisikan Mesir, Murad Muwafi, menggambarkan peranan yang masih dimainkan pasukan keselamatan Mesir dalam soal menangani isu Palestin.
Seorang pegawai Palestin berkata ketua jabatan perisikan Mesir itu telah berjanji akan melaksana langkah-langkah bagi meningkatkan penyaluran minyak yang dibekalkan Qatar ke Gaza melalui Mesir dan sangat diperlukan bagi mengurangkan kekurangan bekalan tenaga ke wilayah Palestin.
Namun, tiada tanda-tanda segera bahawa Kahirah sedia membuka sempadannnya dengan Gaza ke tahap yang diinginkan Hamas.
"Hati Mursi bersama Hamas tetapi fikirannya di tempat lain. Beliau akan beri seberapa banyak yang termampu tetapi beliau tidak dapat berikan banyak kerana kuasanya terbatas," kata Hany Al-Masri, seorang komentator politik Palestin.
Kemenangan Mursi menjawat presiden Mesir dirai di Gaza, yang melihat ia sebagai titik perubahan bagi wilayah yang ekonominya terjejas dek tindakan Israel mengenakan sekatan.
Namun, sebagai ketua negara Mursi perlu mengimbangi sokongan bagi Gaza dengan perlunya menghormati komitmen antarabangsa, termasuk perjanjian damai Mesir dengan Israel.
"Beliau akan sangat berhati-hati. Jabatan perisikan dan tentera tentu ada pendapat mereka sendiri mengenai hal ini," kata Encik Mustapha Kamel Al-Sayyid, seorang penganalisis Mesir.
Menurut jurucakap Mursi, mereka membincangkan isu-isu seperti "menghentikan pengepungan dan penderitaan penduduk Gaza" serta perdamaian dengan Penguasa Palestin, yang berpangkalan di Ramallah dan dipimpin Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Sebelum ini, mantan presiden Mesir, Hosni Mubarak, tidak pernah mengiktiraf pentadbiran Hamas, yang memerintah Gaza sejak 2007 setelah ia mengalahkan Penguasa Palestin pimpinan Encik Abbas.
Awal bulan ini, Mursi menerima kunjungan kedua-dua Abbas dan pemimpin Hamas yang berada dalam buangan, Khaled Meshaal. - Reuters.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan