Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 11 Ogos 2012

BN Kalah Di Malaysia Menang Di Libya

Dewan Undangan Nasional Libya telah memilih Mohammed Magarief, bekas pemimpin pembangkang sebagai Presiden setelah kongres baru untuk negara Afrika Utara itu memulakan pemerintahannya. Magarief, ketua Parti Barisan Nasional (National Front Party), akan mengetuai 200 ahli kongres, yang akan menamakan seorang Perdana Menteri, meluluskan undang-undang dan memimpin Libya ke arah pilihanraya parlimen yang sepenuhnya selepas perlembagaan baru didrafkan tahun hadapan. Magarief, dilihat sebagai pejuang Islam moderat, adalah pemangku Ketua Negara, namun kuasa sebenar beliau belum benar-benar dipastikan.

 Bekas diplomat yang tinggal dalam buangan sejak tahun 1980-an ini adalah figur terkemuka dalam gerakan pembangkang tertua Libya – Barisan Penyelamat Libya Nasional (National Front for the Salvation of Libya) – yang telah berulang kali cuba menjatuhkan pimpinan Libya sebelum ini, Muammar Gaddafi. Parti Barisan Nasional adalah cabang kepada gerakan pembangkang tertua Libya, dan parti ini telah memenangi tiga kerusi dalam pilihanraya Dewan Undangan Nasional 7 Julai lalu – pilihanraya bebas yang pertama untuk Libya dalam generasi ini. “Saya sangat gembira. Ini adalah tanggungjawab besar,” dia memberitahu Reuters. Magarief mendapat 113 undi dan pihak lawannya Ali Zidan hanya memperoleh 85 undi. Ini adalah undian pusingan kedua setelah tiada pihak yang mendapat majoriti dalam undian pusingan pertama.

 Demokrasi

 “Ini adalah demokrasi, inilah apa yang telah lama kami idamkan,” Zidan memberitahu Reuters, ketika mengucapkan tahniah kepada Magarief. Dewan Undangan juga akan melantik dua orang timbalan kepada Magarief, yang dari dulunya dilihat sebagai calon utama untuk jawatan Presiden. “Dia adalah politikus sebenar dan setiap orang mengenalinya.” Ujar Othman Sassi, bekas pegawai Majlis Peralihan Nasional (National Transitional Council). “Dia mempunyai pengalaman yang amat bagus untuk memimpin kongres dan negara demokrasi Libya.” Dewan Undangan Nasional bermula Rabu lalu setelah mengambil alih dari Majlis Peralihan Nasional, alat politik kumpulan pembangkang yang menumbangkan kerajaan Gaddafi tahun lalu yang sekarang ini telah dibubarkan. Majlis lewat malam itu adalah peralihan kuasa secara aman pertama yang berlaku dalam sejarah moden Libya, namun ia dibayangi beberapa peristiwa ganas yang berlaku minggu sebelumnya yang menampakkan kestabilan negara yang tidak berapa utuh. Ini termasuk pengeboman kereta berdekatan pejabat tentera polis di ibukota, Tripoli, dan letupan di bekas pejabat risikan tentera di timur kota Benghazi, tempat bermulanya pemberontakan terhadapa Gaddafi. Dalam Dewan Undangan yang baru, 80 kerusi dipegang parti-parti politik. Parti campuran liberal yang dipimpin Perdana Menteri memenangi 39 kerusi, manakala Parti Keadilan dan Pembangunan – parti sayap Ikhwanul Muslimin memenangi 17 kerusi. Baki 120 kerusi dipegang oleh calon bebas yang susah ditentukan kesetiaan mereka kepada mana-mana parti.

Tiada ulasan: