Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 16 September 2012

K- FIQH :Murshid Sedia Tegur Parti Politik

 Ikatan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid) bersedia  memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menasihati parti politik Pakatan Rakyat dan BN.

Pengerusi Murshid Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, mereka bersedia menasihati kedua-dua kerajaan BN atau Pakatan Rakyat sekiranya didapati tidak merealisasikan kehendak syarak (maqasid syariah) melalui pelaksanaan siyasah syariyyah.

"Kita akan nasihat kedua-duanya. Kalau kita tidak bersetuju dan bercanggah dengan syarak dan tidak adil, kita akan tegur Pakatan Rakyat dan BN," katanya dalam sidang media di Dewan Auditorium MBSA.

Katanya, Murshid turut menjelaskan konsep politik berteraskan syariah sebagai asas pentadbiran dan pemerintah menurut ajaran Islam.

Katanya konsep ini baik untuk semua termasuk orang bukan Islam kerana ia mendokong asas utama keadilan.

Zaharuddin juga menjelaskan mereka akan membincangkan satu-satu perkara tanpa berpihak mana-mana parti politik misalnya soal garis panduan pelaksanaan pilihan raya.

Tambahnya, garis panduan itu mesti bertepatan dengan konsep wasatiyyah di dalam politik berteraskan hujah dan dalil di samping bersikap berkecuali.

"Kita tidak pengaruhi orang untuk undi satu-satu parti. Kita tidak pegang tangan pengundi untuk pangkah parti tetapi kita hanya bagi "tools" untuk rakyat pilih parti mana mereka suka," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak akan timbul persepsi orang politik terhadap Murshid yang dilihat berbaur pembangkang.

"Terpulang pada persepsi orang, kita mahu berkongsi apa yang rasa terbaik," katanya.

Kehadiran anak muda di luar jangkaan dalam Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa yang julung kalinya diadakan hari ini cukup membanggakan, kata Zaharuddin.

Malah dengan kehadiran lebih 1000  peserta hari ini, bagi Zaharuddin ia memberi petunjuk akan berlaku perubahan lanskap politik selepas ini.

Tiada ulasan: