Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 24 September 2012

Rentung dengan minuman keras

Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya melanggar sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras dan rokok seludup dalam kemalangan di Kilometer 194.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata mangsa yang belum diketahui identitinya maut di tempat kejadian setelah badannya terbakar kira-kira 80 peratus. Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, kereta jenis Myvi yang dipandu mangsa sedang menghala ke Kuala Lumpur sebelum melanggar bahagian belakang lori yang menuju arah sama. 

 "Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta mangsa melekat pada belakang lori dan terseret sejauh 100 meter dan terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Katanya pemandu lori terbabit kemudian melarikan diri sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

 Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Ayer Keroh Hadzar Hasan berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.16 pagi dan tiba 29 minit kemudian dengan empat jentera dari balai Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jasin melibatkan 18 anggota. Beliau berkata api yang marak di kenderaan tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada 7.35 pagi. Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka Datuk Mohd Nasir Said ketika dihubungi mengesahkan lori tersebut membawa rokok dan arak seludup yang dianggarkan bernilai RM350,000 dengan cukai melebihi RM2 juta. - Bernama

Tiada ulasan: