Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 30 Oktober 2012

Mesin Jahit : Apa Kaitan dengan Kementerian Pertanian

Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani menggunakan peruntukan kerajaan membeli mesin jahit, peralatan yang langsung bukan keperluan dalam industri berkaitan. Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim mendedahkan perkara tersebut di Parlimen. “Ini tidak ada kena mengena dengan skop kementerian, sehingga ditegur sendiri dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN),” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Belanjawan 2013 bagi Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, semalam. Beginikah mesin jahit yang dibeli Kementerian Pertanian itu?  

Beliau merujuk penemuan LKAN kementerian tersebut yang mendapati ia berlaku di Parlimen Klang melibatkan pembelian mesin jahit, mesin jahit tepi dan seterika bernilai RM11,340 untuk sebuah keluarga nelayan. “Sedangkan peruntukan tersebut boleh dimohon melalui jabatan atau kementerian lain yang lebih signifikan,” jelas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu. Menurut Ahmad, terdapat kepincangan lain dalam pengurusan kewangan di bawah kementerian berkenaan apabila ada projek tertentu oleh agensi yang sewajarnya menggunakan peruntukan agensi lain. Katanya, ia berlaku kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menggunakan peruntukan Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP). 

“Sebagai contoh, semakan audit mendapati projek pembungkusan dan pelabelan usahawan bimbingan Fama berjumlah RM20,000 di Parlimen Pagoh dilaksana menggunakan peruntukan MPPP. “Projek ini sepatutnya menggunakan peruntukan Fama sendiri, kerana ia projek yang diuruskan Fama,” kata Ahmad yang 12 tahun berkhidmat sebagai pegawai pertanian di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Beliau turut menyelar Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menjadikan agihan dari projek MPPP yang digunakan sebagai platform meraih sokongan politik.

Tiada ulasan: