Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat pengisytiharan harta membabitkan kesemua exconya walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.
Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pengisytiharan harta itu akan dilakukan pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini.
Bagaimanapun perkara tersebut katanya hanya akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.
"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu. Pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.
Tambah Khairul Faizi, langkah tersebut bagi menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.
Pada awal tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri itu mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.
Langkah sama turut dilakukan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membabitkan ahli parlimen dan ahli majlis tempatan, sebelum ini.
Sementara itu, ucaptama Ketua Pemuda dan buku muktamar akan diedarkan lebih awal dari tarikh muktamar, iaitu dua minggu sebelum muktamar bagi memastikan perbahasan yang lebih bermutu dan dapat dihadam oleh perwakilan.
"Jika dahulu, buku laporan dan ucaptama hanya diberikan pada hari muktamar. Tapi untuk kali ini kita beri mereka baca dulu, faham dulu sebelum berbahas. Setiap negeri, akan ada seorang wakil untuk berbahas," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan