Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menyifatkan gencatan senjata yang berkuat kuasa, kelmarin, menunjukkan Israel gagal mencapai semua matlamatnya termasuk melancarkan operasi ketenteraan darat di Gaza.
Meshaal berkata, doa seluruh umat Islam akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT walaupun kebanyakan anggota gerakan itu menolak syarat ditetapkan rejim Zionis.
"Mereka (anggota Hamas) hanya bersetuju dengan syarat utama iaitu untuk menghentikan operasi ketenteraan. Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Mesir, Mohammed Mursi selaku orang tengah yang bertanggungjawab menjayakan usaha ini," katanya dipetik AFP.
Selain itu, Meshaal turut memberi amaran kepada Israel jika mereka melanggar ketetapan perjanjian diumumkan oleh Mesir.
"Kami tidak teragak-agak melancarkan serangan balas jika Israel gagal mematuhi perjanjian ini," tegasnya.
Dalam satu kenyataan lain, pemimpin gerakan Jihad Islam, Ramadan Shallah turut berpendapat gencatan senjata itu membuktikan kegagalan luar biasa dalam sejarah Israel.
Selasa lalu, gencatan senjata yang sepatutnya berkuasa kuasa pada malam tersebut terpaksa ditunda pada saat akhir selepas rejim Zionis sengaja tidak memberi sebarang respons berhubung ketetapan perjanjian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan